Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah, Sarawak pesat selepas era Tun M

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak mengalami pembangunan lebih pesat selepas Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi menjadi Perdana Menteri, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata, adalah tidak boleh diterima apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengatakan Sabah dan Sarawak boleh maju lebih cepat jika pemimpin ‘kurang tamak’ kerana hakikatnya, kedua-dua negeri dibaikan selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Adakah dia (Dr Mahathir) tidak pernah mendengar Lebuhraya Pan Borneo? Lebuh raya itu akan menelan kos hampir RM13 bilion (di Sabah) yang meliputi jarak 730 kilometer dari Sindumin sehingga ke Tawau.

“Apa yang Mahathir beri kepada kita ketika jadi Perdana Menteri? Sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, dia tidak melakukannya.

“Ketika kami menghampiri tempoh separuh daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), hampir RM15 bilion diperuntukkan untuk Sabah oleh Kerajaan Persekutuan dan tahun ini sahaja, jumlahnya RM3.87 bilion,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, sebagai perbandingan, dalam RMKe-7 (1996-2000), Dr Mahathir selaku Perdana Menteri memperuntukkan RM6.93 bilion untuk Sabah, RM13.2 bilion dalam RMKe-8, RMKe-9 (RM17.7b) dan RMKe-10 (RM21.96b).

Beliau berkata, apa yang diucapkan Dr Mahathir mengenai Sabah dan Sarawak, baru-baru ini, adalah janji pilihan raya, namun ia menimbulkan persoalan mengenai keikhlasannya kerana beliau gagal melakukannya ketika menjadi Perdana Menteri.

“Adakah Dr Mahathir prihatin terhadap penduduk luar bandar Sabah dan Sarawak? Untuk rekod, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerima peruntukan RM107.8 juta di bawah RMe-7 dan RM1.42 bilion di bawah RMKe-8.

‘Di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sekarang, RM10.2 bilion diperuntukkan di antara tahun 2011 dan tahun ini meneruai RMKe-10 dan 11,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Selain itu, katanya, Najib adalah satu-satunya pemimpin yang memahami dan mengiktiraf sentimen rakyat atas hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Malah, Perdana Menteri bersetuju dengan pembentukan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan mengenai Penurunan Kuasa ke Sabah dan Sarawak yang dipimpin Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Seri Nancy Shukri.

“Perdana Menteri juga telah mengisytiharkan secara terbuka dan memberi jaminan apa-apa hak yang sama ada secara sengaja atau tidak diambil dari Sabah dan Sarawak akan dikembalikan,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan