Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah, Sarawak Miliki Potensi Besar Bagi Kegiatan Biojisim, Kata AIM

4:21pm 13/11/2015 Pak Roshan 16 views Mutakhir,Nasional

sawit

KUALA LUMPUR : Sabah dan Sarawak yang meliputi 50 peratus daripada keluasan keseluruhan ladang kelapa sawit Malaysia, mempunyai potensi besar dalam memperkembang sektor biojisim, kata Agensi Inovasi Malaysia (AIM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Rozario berkata peserta industri wajar mengambil usaha yang luas untuk mempromosikan sektor, terutama dalam industri hiliran yang mempunyai sumber besar bahan suapan.

“Produk biojisim daripada sisa buangan kelapa sawit boleh dieksport ke beberapa negara yang menggunakannya sebagai sumber alternatif untuk tenaga.

“Ini akan memberi sedikit pendapatan kepada negara,” katanya dalam taklimat media mengenai Persidangan Biojisim Antarabangsa Malaysia 2015 yang akan diadakan pada 8 dan 9 Dis ini.

Persidangan dan pameran bertemakan ‘Being Local and Going Global: Sustainable Biomass Value Chains’, itu dianjur secara bersama oleh AIM dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Rozario berkata Malaysia menyasarkan sumbangan segmen biojisim kepada Pendapatan Negara Kasar mencecah RM30 bilion pada 2020.

Di bawah Strategi Biojisim Negara 2020, Malaysia menyasarkan untuk memaksimumkan potensi sumber biojisim negara menerusi portfolio seimbang industri hiliran merangkumi biotenaga, bahan bakar bio yang maju, biokimia dan produk akhirnya.

Rozario berkata permintaan terhadap produk berkenaan datang daripada Korea Selatan, China dan juga Finland.

“Dengan begitu banyak ladang kelapa sawit dan kira-kira 400 kilang minyak sawit di seluruh negara, kita boleh pergi lebih jauh dalam sektor ini,” katanya.

Beliau berkata sektor biojisim juga berupaya menampan kesan kejatuhan harga minyak.

“Jumlah eksport produk biojisim yang tinggi boleh meminimumkan kesan harga minyak kepada pendapatan negara. Justeru, peserta tempatan digesa untuk memperhebat usaha bagi memacu industri mara lebih jauh,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan