Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah rancang kejutan di Darul Makmur

KOTA KINABALU: Walaupun dianggap bukan pilihan, Sabah tetap bersemangat untuk memberi saingan sengit kepada Pahang seterusnya mencuri mata di Stadium Darul Makmur, malam esok yang juga aksi pertama Sang Badak dalam saingan Piala Malaysia selepas enam tahun.

Pengendalinya, Jelius Ating mengakui Pahang sebuah pasukan kuat di semua posisi namun ia bukan bermakna mereka tidak mampu menyaingi Juara Piala FA itu walaupun beraksi di gelanggang lawan.

“Kita sudah lama tidak bertemu Pahang, tetapi saya tahu mereka pasukan kuat dan mantap di semua posisi lebih-lebih lagi bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong mereka.

“Kami melihat rakaman video perlawanan membabitkan Pahang musim ini dan ada strategi tersendiri untuk menyaingi mereka. Dalam bola sepak tiada yang mustahil, kita boleh mengambil contoh kejohanan Piala Dunia lalu, banyak pasukan ‘underdog’ mencipta kejutan,” katanya.

Jelius berkata, harapannya pada perlawanan esok adalah untuk mengutip mata, tidak kisah sama ada menang atau seri.

“Perlawanan esok juga adalah aksi pertama kami dalam Piala Malaysia selepas lebih enam tahun (gagal layak) dan pasti kami ingin mulakan kempen dengan baik walaupun dianggap bukan pilihan,” katanya.

Sementara itu, Jelius berkata, dia akan mengekalkan kesebelasan utama sebelum ini untuk berdepan skuad Tok Gajah kecuali memasukkan semula Dendy Lowa bagi menggantikan Evan Wensley Wenceslaus.

“Dendy kembali cergas untuk memulakan perlawanan, namun kami masih kehilangan khidmat pemain import, Keisuke Ogawa dan Jenius Karib yang masih belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya.

Jelius dijangka meletakkan Rozaimie Rohim selaku penjaga gol utama dibantu empat pertahanan iaitu Dendy, Rawilson Batuil, Randy Baruh serta Francis Kasonde.

Sabri Sahar pula akan mengemudi bahagian tengah dibantu Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa dan Hamran Peter manakala dua penyerang import, Hector Omar Ramos serta Rodoljub Paunovic kekal sebagai pemburu jaringan. –¬†Oleh Ryan Stanley/BH Online

Komen


Berita Berkaitan