Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah pikat kembali pelancong China

Masidi Manjun. - foto Alex Mairin / SayangSabah
Masidi Manjun. – foto Alex Mairin / SayangSabah

KOTA KINABALU – Kemerosotan pelancong China ke Sabah pada tahun lalu dijangka pulih semula apabila syarikat penerbangan republik itu, China Eastern Airlines bersetuju menambah jumlah penerbangannya ke Kota Kinabalu iaitu lima kali seminggu berbanding tiga pada masa ini.

Selain itu, lebih 90 peratus pelancong China yang menggunakan khidmat penerbangan berkenaan turut mendorong China Eastern Airlines untuk menukar pesawat lebih besar bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, reaksi positif itu diyakini mampu memantapkan kembali industri pelancongan Sabah pada tahun ini.

“Saya sendiri dimaklumkan oleh Pengurus China Eastern Airlines bahawa pihaknya bakal menggunakan pesawat penerbangan lebih besar agar dapat membawa lebih ramai penumpang dari negara itu yang ingin melancong ke Sabah,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran kementeriannya, di Pusat Kebudayaan Penampang, di sini hari ini.

Masidi (tengah) melancarkan program kibar Jalur Gemilang semasa sambutan rumah terbuka Aidilfitri kementeriannya di Pusat Kebudayaan Penampang. - foto Alex Mairin / SayangSabah
Masidi (tengah) melancarkan program kibar Jalur Gemilang semasa sambutan rumah terbuka Aidilfitri kementeriannya di Pusat Kebudayaan Penampang. – foto Alex Mairin / SayangSabah

Masidi memberitahu, industri pelancongan Sabah berdepan kemerosotan 50 peratus pelancong dari China pada tahun lalu ekoran beberapa insiden yang berlaku termasuk faktor isu keselamatan.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, kekurangan itu ditampung oleh kehadiran menggalakkan pelancong dari Korea dan Jepun selain usaha berterusan pihak Lembaga Pelancongan Sabah yang mula membangunkan infrastruktur pelancongan di kawasan Pantai Barat negeri ini sebagai alternatif.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keputusan AirAsia untuk kekal beroperasi di Terminal Penerbangan Tambah Murah (LCCT), Masidi berkata, perkara itu perlu diselesaikan oleh pihak pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB) dan AirAsia sendiri.

“Terdapat pro dan kontra sekiranya AirAsia mahu kekal beroperasi di situ, namun adakah mereka mampu mengendalikan jumlah penumpang melainkan mereka menaiktaraf kemudahan di terminal tersebut.

“Bagi kerajaan negeri, apa juga keputusan dibuat jika ia baik untuk industri pelancongan Sabah, kita akan sokong sepenuhnya,” ujarnya. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan