Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah perlu RM85,400 baiki 7 buah sekolah rosak akibat banjir

Datuk Jame Alip. - foto Monica Gidong
Datuk Jame Alip. – foto Monica Gidong

KOTA KINABALU – Sebanyak RM85,400 diperlukan segera bagi membaiki kerosakan harta benda melibatkan tujuh buah sekolah di negeri ini di dua daerah iaitu Kota Belud dan Tawau.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 22 (RM20,400); SK Kuala Apas (RM30,000) dan SK Wakuba (RM10,000) di Tawau manakala SK Kesapang (RM5,000), SK Timbang (RM15,000) dan SK Menunggui (RM5,000) di Kota Belud manakala SK Kinarut di Papar, RM40,000.

Sebuah sekolah di Kota Kinabalu iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St. Catherine, SK Tampasuk 1, SK Lasau Tintapon dan SK Labuan di Kota Belud yang dilanda banjir tidak mengalami kerosakan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Jame Alip berkata, pihaknya akan memastikan supaya kerosakan itu dapat dibaiki segera dan bantuan diserahkan kepada mangsa banjir di kawasan yang terlibat.

“Jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat dengan banjir adalah seramai 2,818 manakala 264 guru,” katanya dalam sidang media berhubung Persediaan Awal Sesi Persekolahan 2015 di Wisma Pendidikan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jame berkata, untuk sesi persekolahan ini yang dijadualkan pada 12 Januari ini, kira-kira 30 peratus guru Kelantan yang bertugas di Sabah belum dapat kembali bertugas ekoran keadaan banjir yang melanda negeri itu.

Katanya, jumlah guru dari Kelantan yang mengajar di sekolah menengah adalah seramai 1,058 orang dan 1,053 pula di sekolah rendah, manakala seramai 345 guru sekolah menengah dan 314 guru sekolah rendah adalah dari Terengganu.

Mengenai Bantuan Khas Awal Persekolahn 1Malaysia tahun ini, Jame berkata Sabah menerima sejumlah RM46.311 juta dengan bilangan murid atau penerima adalah seramai 463,115 orang.

“Bagi jenis sekolah, Tingkatan Satu mencatatkan senarai penerima tertinggi dengan peningkatan sebanyak 2,109 atau 5.22 peratus iaitu seramai 42,487 penerima pada 2015 berbanding 40,378 pada tahun lalu.

“Ini diikuti Tahun Satu iaitu 41,414 penerima pada tahun ini, namun jumlah itu berkurangan berbanding 43,778 pada 2014. Dua jenis sekolah iaitu Prasekolah (KPM) dan Peralihan turut meningkat dari bilangan penerima.

“Prasekolah meningkat kepada seramai 26,631 orang berbanding 25,906 pada tahun lalu manakala Peralihan adalah seramai 849 orang berbanding 609 tahun lalu,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) agar mengaktifkan Jawatankuasa Bencana Alam PPD bagi menghadapi gelombang banjir yang diramalkan pada hujung minggu ini. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan