Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2018

KOTA KINABALU: Sabah layak ke suku akhir Piala Malaysia 2018 apabila menumpaskan PKNP FC 2-0 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Badak mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan D dengan mengumpul 13 mata daripada 4 kemenangan dan satu seri.

Dengan baki satu lagi perlawanan, kedudukan Sabah di tangga teratas tidak akan tergugat oleh keputusan permainan pasukan lain dalam kumpulan D.

Sabah menunjukkan semangat untuk meneruskan kemaraan sebaik wisel pertama dibunyikan dengan mengasak benteng pertahanan PKNP FC melalui gandingan penyerang Hector Ramos, Rodoljub Paunovic dibantu Hamran Peter dan Maxius Musa.

Selepas beberapa kali percubaan yang hampir masuk Sabah akhirnya berjaya menembusi gawang lawan melalui tandukan Paunovic yang menerima hantaran lintang dari Hamran pada minit ke-30.

Paunovic meraihkan gol pertama Sabah pada minit ke-30 dalam perlawanan menentang PKNP FC di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Gambar SNT

Kedudukan Sabah mendahului 1-0 kekal dalam babak pertama.

Babak kedua menyaksikan skuad Badak meneruskan penguasaan dengan serangan bertubi kali melalui Maxius dan Hamran.

Hamran hampir menjaringkan gol kedua Sabah dalam minit ke-64 apabila tendangan rendahnya yang berjaya menewaskan penjaga gol PKNP, Muhamad Syazani Mat Puat terkena pula tiang gol.

Sabah menebus kehampaan itu apabila Mohd Azizan Nordin bijak mencuri hantaran pertahanan PKNP untuk membawa bola masuk ke dalam kotak penalti sebelum menyerahkannya kepada penyerang kelahiran Puerto Rico, Hector Ramos yang menewaskan Muhamad Syazani dari jarak dekat pada minit ke-80.

Anak buah Jelius Ating meneruskan persembahan cemerlang mereka sehingga akhir perlawanan untuk menang 2-0.

Berikutan kekalahan itu, peluang PKNP FC untuk mara ke suku akhir dan memintas Pahang yang tewas kepada Selangor 3-1 dalam perlawanan sehari awal lenyap.

Pahang kekal tangga kedua Kumpulan  D dengan jumlah 8 mata untuk mengiringi Sabah ke suku akhir.

Perlawanan kumpulan terakhir bagi Sabah adalah menentang Pahang di Stadium Likas pada 16 September nanti.

Perlawanan itu nanti hanyalah akademik.-Oleh Chris Maskilone/SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan