Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah komited perkasa peranan RT kukuh perpaduan komuniti

KOTA KINABALU, 12 Ogos (Bernama) – Kerajaan negeri menerusi Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah komited untuk membantu memperkasa peranan badan sukarela Rukun Tetangga (RT) dalam usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian komuniti setempat.

Menterinya, Stephen Wong Tien Fatt berkata RT, yang diperkenalkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan masyarakat menerusi penerapan nilai perpaduan sebagai teras utama dalam melaksanakan program rukun tetangga.

“Saya berharap RT dapat meneruskan program serta aktiviti mereka dalam menerapkan nilai perpaduan serta keharmonian komuniti setempat, dan saya sebagai menteri bersedia membantu meningkatkan peranan badan sukarela ini.

“Di samping itu, pengerusi dan ahli KRT (Kawasan Rukun Tetangga) serta guru Tabika Perpaduan juga seharusnya menjadi duta atau ejen memaklumkan aktiviti anjuran RT kepada orang ramai,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Minggu Perpaduan dan Karnival Rukun Tetangga Zon Bandaraya Kota Kinabalu 2018 di sini, hari ini.

Sambutan diadakan setiap tahun oleh JPNIN itu, bertujuan meraikan anggota jawatankuasa RT dengan beberapa acara menarik dalam memupuk nilai perpaduan serta kerjasama antara masyarakat pelbagai kaum dan lapisan umur.

Dalam perkembangan berkaitan, Stephen Wong berkata pewujudan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dilihat dapat membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah serta gejala sosial di setiap KRT.

SRS juga bermanfaat dalam membendung kegiatan lepak, pecah rumah, kecurian dan penyalahgunaan dadah terutama di kawasan perumahan berisiko tinggi, katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan