Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah kemuka usul bina 3,000 unit PPR setahun

Joseph Pairin Kitingan (tengah) menyambut kedatangan Musa Aman (kanan) sempena lawatan kerja beliau ke Tambunan. - pix JKM
Joseph Pairin Kitingan (tengah) menyambut kedatangan Musa Aman (kanan) sempena lawatan kerja beliau ke Tambunan. – foto JKM

TAMBUNAN – Kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan Pusat agar menambah jumlah pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah daripada 1,000 unit kepada 3,000 setahun.

Sekiranya diluluskan, ia sudah pasti memberi peluang kepada lebih ramai rakyat khususnya golongan muda yang berpendapatan sederhana dan rendah dapat memiliki rumah mampu milik pertama masing-masing.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman memberitahu, beliau telah mengulangi usaha mengemukakan usul kepada kepada kerajaan Pusat bahawa peningkatan pembinaan PPR di Sabah penting supaya pengagihannya ke daerah-daerah bertambah kerana kerajaan negeri menerima banyak permohonan PPR daripada rakyat.

“PPR adalah projek bermanfaat dan dinantikan oleh rakyat. Kita diberi 1,000 unit setahun yang mana bagi saya ia tidak mencukupi, jadi saya minta ia ditingkatkan kepada 3,000 unit setahun. Sekarang, setiap daerah cuba dapat 30 unit PPR setahun, kalau ditambah, kita boleh bina 40 unit.

“Justeru, saya berharap perkara ini diambil berat oleh pihak berwajib, khususnya kementerian yang menjalankan projek ini,” katanya kepada pemberita selepas mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Tambunan dan Keningau di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tambunan sempena lawatan kerja selama dua hari, mulai hari ini.

Musa Aman dan Joseph Pairin Kitingan bergambar bersama pegawai daerah, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan yang hadir dalam taklimat sempena lawatan kerja beliau ke Tambunan. foto JKM
Musa Aman dan Joseph Pairin Kitingan bergambar bersama pegawai daerah, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan yang hadir dalam taklimat sempena lawatan kerja beliau ke Tambunan. foto JKM

Hadir sama, Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marhaban dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ellron Angin serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

Mengulas mengenai penyelenggaraan PPR, Musa berkata, beliau sudah meminta dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tugas itu dikendalikan Pejabat Daerah dan beliau bersetuju dengan permintaan ini.

“Alhamdullilah, ini telah terbukti dengan adanya pengendalian PPR ini oleh Pejabat Daerah, projek PPR mampu diuruskan dengan baik sekali dan Sabah menjadi `the best performer’ dari segi pembangunan PPR di Malaysia

“Saya bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Pegawai-Pegawai Daerah kita kerana mereka mengambil nasihat supaya serius membina rumah PPR mengikut jadual ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Musa berkata, hubungan erat di antara kerajaan negeri dan Pusat dapat memastikan apa juga masalah dan keperluan yang dikemukakan didengar dan diperhalusi kerana ia adalah keperluan untuk rakyat.

Mengenai lawatan tersebut, Musa berkata, ia merupakan cara yang terbaik untuk melihat dan mendengar sendiri taklimat pembangunan yang disampaikan oleh pegawai daerah serta dapat membincangkan hal-hal yang berkaitan dan mengambil kira perkara yang disampaikan seterusnya mengambil tindakan segera.

Berhubung isu pembinaan jambatan baharu di Keningau yang menghubungkan sekolah dan pekan di daerah itu, beliau menjelaskan telah mengarahkan Pengarah Jabatan Kerja Raya untuk membuat kajian dan mengemukakannya kepada Kabinet untuk kelulusan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

 

Komen


Berita Berkaitan