Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah kaji peraturan tangani kebakaran rumah atas air

JAUJAN Sambakong. – Foto Malai Rosmah Tuah

 

SANDAKAN: Kerajaan Sabah akan membentuk satu jawatankuasa khas bagi meneliti keperluan mewujudkan akta atau menggubal ordinan baharu dalam menangani isu kebakaran besar yang kerap berlaku di penempatan atas air di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong, berkata jawatankuasa itu berada di bawah kementeriannya dan turut membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.

Katanya, akta atau ordinan baharu itu akan merangkumi segala aspek keselamatan kebakaran yang perlu dipatuhi dalam pembinaan rumah dan kemudahan di perkampungan atas air bagi mengelak kebakaran besar berulang.

“Kerajaan dari dulu ada peraturan ditetapkan dalam membina rumah atas air, namun tiada kerjasama. Apabila berlaku kebakaran besar, bukan saja mangsa yang susah, akhirnya kerajaan juga perlu fikir untuk rakyat.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan PBT dalam masa terdekat untuk menubuhkan jawatankuasa khas ini dan merumuskan apa yang perlu dilakukan kerajaan dalam menggubal akta atau ordinan baharu difikirkan mampu mengawal kampung atas air,” katanya kepada NSTP.

NSTP sebelum ini melaporkan pembinaan rumah di perkampungan atas air tanpa mengambil kira keperluan keselamatan termasuk pemilihan bahan, ketinggian struktur binaan, keluasan dan susun atur antara faktor kebakaran besar kerap berlaku ke atas rumah atas air di negeri ini.

Selain itu, kebanyakan kes kebakaran di perkampungan atas air membabitkan pembinaan rumah tidak terancang dan tidak tersusun, manakala keperluan keselamatan kebakaran untuk pembinaan rumah milik peribadi tidak termaktub dalam Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Susulan tiada kawalan daripada pihak berkuasa, penduduk di penempatan atas air menambah struktur rumah hingga menyebabkan rumah terlalu rapat, sekali gus antara punca kemusnahan lebih besar apabila berlaku kebakaran.

Jaujan berkata, garis panduan baharu yang menetapkan peraturan bagi membina rumah atas air perlu diwujudkan dengan mengambil kira pelbagai aspek perlu dipatuhi termasuk jarak antara rumah, pembinaan jeti selain aspek kebersihan persekitaran termasuk sampah sarap yang boleh menjadi punca kebakaran.

“Kerajaan ada perancangan dalam jangka panjang termasuk mewujudkan lebih banyak penempatan baharu untuk menangani isu perumahan khususnya setinggan, namun bukan semua yang tinggal di penempatan atas air mahu berpindah.

“Kita perlu fikir mereka yang lahir dan tinggal di tepi laut sejak sekian lama serta sudah biasa dengan kehidupan itu merasa tidak sesuai tinggal di tanah besar.

“Justeru, penduduk juga perlu bekerjasama menjaga keselamatan dan kebersihan termasuk sampah sarap yang bukan saja boleh menyebabkan penyakit, malah antara punca kebakaran,” katanya. – Oleh Poliana Ronnie Sidom/BH Online

Komen


Berita Berkaitan