Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah Guna Pendekatan Menang-menang Tangani Isu Royalti Minyak

minyak sabah

KOTA KINABALU– Kerajaan Sabah mempunyai cara tersendiri dalam menangani isu royalti minyak dengan menggunakan pendekatan situasi menang-menang yang akan membawa keuntungan dan kebaikan terhadap perkembangan ekonomi seluruh rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan perundingan secara berterusan dengan kerajaan pusat mengenai pemilikan ekuiti menerusi jumlah pelaburan projek minyak dan gas di Sabah.

“Kerajaan tidak perlu terikut-ikut dengan gaya pembangkang yang membuat tuntutan itu…kalau kita berteriak-teriak cakap sahaja tiada faedah, lagi baik kalau kita berbincang cara baik dapat membawa keuntungan dan manfaat kepada Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Kota Kinabalu di sini, Ahad.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata selain pemberian royalti minyak, kerajaan negeri juga meminta ekuiti dalam pelbagai projek berkaitan minyak dan gas seperti projek saluran gas Kimanis ke Bintulu dan pemilikan 25 peratus bagi pelaburan di Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) di Sipitang.

“Sabah juga berusaha menjadi perintis dalam meneroka industri minyak dan gas selain mengadakan usaha sama dengan Petronas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya formula berkenaan membawa kebaikan dan disenangi pelbagai pihak bagi mempertingkat atau menambah nilai kepentingan Sabah dalam industri minyak dan gas sekali gus memberikan peruntukan lebih kepada Sabah.

Mengenai isu berasingan, Musa mahu agar Umno Kota Kinabalu merampas semula kerusi yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya lepas.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Musa yang juga Pengerusi Umno negeri meminta semua anggota Umno menjadikan mesyuarat perwakilan sebagai platform terbaik dalam mengutarakan idea dan pandangan bernas bagi memantapkan parti.

“Saya minta semua ahli mengekalkan perpaduan dalam parti bagi memantapkan perjuangan parti yang menjadi budaya Umno dari dulu hingga sekarang,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan