Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,651

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Dapat Banyak Manfaat, Nikmat Pembangunan Hasil Kemerdekaan

cm

TAWAU, 6 Ogos (Bernama) — Sabah mendapat banyak manfaat pembangunan dan nikmat kemajuan hasil daripada kemerdekaan negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya sejak dulu hingga kini, kerajaan komited melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat, malah kestabilan serta kemakmuran dikecapi selama ini, bukannya janji kosong atau slogan semata-mata kerana fakta dan realitinya sudah ada di depan mata.

Beliau berkata ini dapat dibuktikan menerusi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah termasuk Pakej Tawau-Sandakan, yang sedang rancak dilaksanakan bagi mewujudkan sistem perhubungan jalan raya sistematik, efisien dan selesa untuk rakyat, sekali gus menjana pembangunan sosio-ekonomi lebih pantas.

“Begitu juga Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau yang telah siap dibina dan akan memulakan operasi pertengahan bulan ini, dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang cekap dan mudah untuk rakyat.

“Demikian juga dalam aspek lain seperti keselamatan, pendidikan, perumahan rakyat, pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar yang terus diberi perhatian oleh kerajaan Pusat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan 2016 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini malam ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta menteri-menteri Kabinet negeri Sabah.

Musa berkata semua agenda pembangunan di negeri ini dapat dilaksanakan kerana adanya kesungguhan politik yang tinggi dalam memacu pembangunan dan keprihatinan pemimpin dalam memenuhi mandat rakyat, selain hubungan baik antara kerajaan negeri dan Pusat.

“Apa paling penting ialah kerana adanya sokongan padu dan kesetiaan rakyat yang terus bersatu bersama-sama kerajaan yang menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri penuh yakin Sabah akan menikmati lebih banyak pembangunan untuk rakyat di semua peringkat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, serta dibantu timbalannya, Ahmad Zahid.

Musa berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat Sabah juga optimis segala cabaran dilalui dan cubaan menggugat keselamatan serta kedaulatan Malaysia khususnya di Sabah, akan dapat diatasi menerusi kesatuan dan perpaduan mantap dalam setiap hati sanubari rakyat Malaysia dengan semangat sehati sejiwa.

“Oleh itu, mengambil semangat Bulan Kebangsaan ini, marilah kita mengukuhkan patriotisme, menzahirkan kesyukuran, mempamerkan kesetiaan, memantapkan solidariti dan mengukuhkan kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

sabah SDA_major_programmes_projects2

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan