Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah catat statistik jenayah tertinggi di Malaysia

KOTA KINABALU: Negeri Sabah mencatatkan statistik jenayah yang tertinggi di Malaysia dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 16 peratus.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Dato’ Ramli Bin Din, jenayah yang menunjukkan peningkatan yang ketara adalah kes curi dan pecah rumah.

“Walaupun kes jenayah di negeri ini mencatatkan statistik yang tinggi namun Sabah merupakan negeri kedua yang mencatatkan kadar penyelesaian kes yang tertinggi di negara ini berbanding negeri-negeri lain.”

“Statistik yang tinggi ini bukan menunjukkan Sabah merupakan negeri yang tidak selamat dengan kadar jenayah yang tinggi tetapi ini disebabkan saya telah mengarahkan agar melakukan siasatan terhadap semua kes termasuk kes-kes kecil, walaupun ia melibatkan kes mencuri dua tandan kelapa sawit kerana kita mahu pelaku itu dikenakan tindakan agar dijadikan pengajaran buat orang lain,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Perlaksanaan Inisiatif Have Ex-Policeman Serve As Neighbourhood Safety Leaders di bawah National Blue Ocean Strategy (NBOS), di Ibu Pejabat Polis Sabah, hari ini.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas majlis berkenaan, beliau menyatakan majlis itu merupakan platform untuk berkongsi mengenai perkembangan keselamatan di negeri ini bersama pesara polis.

“Saya harap pesara polis sentiasa bersama dengan pihak polis untuk sama-sama mengukuhkan keselamatan di negeri ini.”

“Pada hari ini lebih kurang 60 orang pesara polis telah hadir dan legasi yang mereka tinggalkan itu akan diteruskan oleh anggota yang masih bertugas,”katanya.

Tambah Ramli, pasukan keselamatan Malaysia akan terus bekerjasama dengan Filipina bagi memburu seorang lagi anggota kumpulan Remy atau dikenali sebagai Two Brothers iaitu kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang aktif melakukan jenayah rentas sempadan di perairan negara pada 2014 hingga penghujung 2015.

“Empat anggota kumpulan berkenaan telah berjaya ditembak mati dan lima lagi berjaya ditahan oleh pasukan keselamatan Filipina, manakala seorang lagi ditembak mati oleh pasukan keselamatan negara di perairan Silam, Lahad Datu.”

“Berdasarkan maklumat yang kita perolehi, anggota yang masih bebas itu dipercayai berada di Filipina namun dengan tumpasnya salah seorang lagi anggota kita percaya kumpulan ini makin lumpuh,”katanya. /SayangSabah

Ramli (tengah) mengambil gambar bersama pesara polis yang hadir dalam majlis berkenaan.-Gambar Oleh Alex Mairin

Komen


Berita Berkaitan