Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah capai penarafan Indeks Akauntabliti paling tinggi di Malaysia

Musa Aman meninjau pameran badan-badan berkanun dan agensi kerajaan pada majlis pelancaran kursus ahli lembaga pengarah badan berkanun dan agensi kerajaan negeri Sabah 2015 di Kota Kinabalu. Foto Ille Tugimin/SayangSabah
Musa Aman meninjau pameran badan-badan berkanun dan agensi kerajaan pada majlis pelancaran kursus ahli lembaga pengarah badan berkanun dan agensi kerajaan negeri Sabah 2015 di Kota Kinabalu. Foto Ille Tugimin/SayangSabah

KOTA KINABALU – Sabah menjadi negeri paling tinggi dari segi pencapaian penarafan Indeks Akauntabliti oleh Ketua Audit Negara bagi bilangan organisasi diberikan penarafan empat bintang berbanding negeri lain di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.

Untuk tahun 2014, sebanyak 24 buah organisasi di Sabah telah diberikan penarafan empat bintang daripada 35 yang diaudit, sekaligus menunjukkan peningkatan berbanding 2013 iaitu 20 buah organisasi.

Menyatakan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman memberitahu, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) melaksanakan tadbir urus masing-masing.

“Bukan mudah mentadbir sesebuah organisasi atau untuk memastikan ia berjalan baik, tetapi saya percaya dengan kesedaran dan komitmen serta tanggungjawab semua pihak, apa juga syarikat diwakili akan berjalan baik selagi ditadbir dengan betul,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Negeri Sabah, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Pengiran Hassanel Pengiran Mohd Tahir Nasaruddin dan Peguam Besar Negeri, Datuk Mariati Robert.

Daripada 24 buah organisasi tersebut, enam buah terdiri daripada badan berkanun negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (Sedco), Koperasi Pembangunan Desa, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (Safoda) dan Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan).

Dalam pada itu, Musa juga mengingatkan ahli lembaga pengarah dalam sesebuah organisasi agar memastikan kedudukan badan berkanun atau syarikat berkaitan keajaan sentiasa mempunyai kedudukan yang kukuh termasuk mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Sekiranya kita mengikut syarat atau mematuhi peraturan organisasi tidak akan tersilap langkah serta menyimpang (membuat kesalahan). Justeru, setiap agensi perlu menunjukkan kecekapan dengan baik.

“Maka itu, melalui kursus ini peserta akan memanfaatkan peluang yang disediakan sebaiknya untuk menambah pengetahuan dan memperbaiki diri masing-masing. Learning is a continous process, terutama jika kita belum eredah sepenuhnya dalam bidang baharu seperti dalam dunia korporat dan pengurusan syarikat,” ujarnya.

Selain memastikan badan berkanun negeri dan syarikat GLC sentiasa mengukuhkan kedudukan, Musa berkata, adalah mustahak bagi mendapatkan keuntungan dan mampu membayar hutang atau dividen kepada kerajaan, sekaligus menyumbang kepada kekukuhan kedudukan kewangan negeri.

Beliau menegaskan, adalah menjadi kewajipan semua pihak dalam setiap organisasi badan berkanun negeri dan GLC untuk mengelak salah guna kuasa dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan