Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,765

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Buat Julung Kali Dipilih Tuan Rumah Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan 2016

2:57pm 25/07/2016 Pak Roshan 209 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

malaysia

KOTA KINABALU : Buat julung kalinya, Sabah dipilih sebagai tuan rumah sempena Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan pada 6 Ogos depan, di Tawau, iaitu kira-kira 555 kilomter dari sini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Sabah Datuk Hajiji Noor berkata pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri juga akan diadakan secara serentak pada majlis berkenaan.

“Majlis itu akan berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau,” katanya pada majlis pengagihan Jalur Gemilang dan bendera negeri sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini hari ini.

Hajiji berkata pengagihan bendera kepada setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan badan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan memastikan bendera negara dikibarkan di premis masing-masing sepanjang Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme kepada negara.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata bendera negeri dan Jalur Gemilang mula diagihkan di setiap daerah sejak Rabu lepas, bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan, tahun ini.

Hajiji berkata usaha seumpama itu adalah penting bagi memastikan semangat patriotisme tetap terus disemarakkan dalam jiwa semua lapisan masyarakat memandangkan semangat mengibarkan Jalur Gemilang seolah-olah semakin pudar.

Pelbagai program turut dirancang dan diselaraskan bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri termasuk Kembara Merdeka, Program Patriotisme, Larian Hari Kebangsaan, Pertandingan Video Pendek Merdeka dan Pertandingan Selfie Merdeka untuk pelajar sekolah, katanya.

Menurutnya, tema Hari Kebangsaan tahun ini masih mengekalkan tema digunakan tahun lepas iaitu #sehatisejiwa memandangkan tema tersebut mencerminkan kesepaduan, kesefahaman dan semangat kekitaan seluruh rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Hajiji mahu seluruh rakyat tanpa mengira kepercayaan agama, bangsa dan ideologi politik untuk bersama-sama menjaga kedaulatan dan keselamatan negara sekali gus memperkukuh perpaduan kaum agar negara terus mengecapi nikmat keharmonian.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan