Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah Beri Jaminan Ketatkan Keselamatan Di Sepanjang Sempadan Laut

lautsabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman memberi jaminan bahawa kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa persekutuan untuk memperketatkan keselamatan di sepanjang sempadan laut negeri ini.

Musa, yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri berkata ini dilakukan melalui penempatan aset-aset yang perlu di Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZone) dan memperkukuhkan kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Kami menghargai keselamatan semua pelawat sama ada mereka datang ke sini untuk urusan perniagaan atau untuk berseronok dan kami akan terus meningkatkan langkah-langkah keselamatan.

Pembebasan seorang pelancong warga China dan pekerja Filipina baru-baru ini daripada penculik mereka adalah hasil usaha gigih dan kerjasama erat antara kerajaan kita dan kerajaan Filipina,” kata beliau pada majlis jamuan memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dan juga ulang tahun ke-4 MCCC Sabah di Dewan Hakka Sabah, Likas malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata kerajaan sedar bahawa insiden penculikan baru-baru ini membabitkan warga China menimbulkan kebimbangan bagi ahli perniagaan dan pelancong dari China.

Sementara itu, beliau berkata penubuhan pejabat Konsul Jeneral di Kota Kinabalu akan memberi keselesaan dan mengurangkan kos bagi mereka yang menetap di Sabah kerana pada masa ini, visa perniagaan dan pelancong ke China diproses di Kuching dan Kuala Lumpur.

“Kerajaan Sabah akan memberi sokongan yang perlu dan mempermudahkan penubuhan pejabat berkenaan dan dua cawangan bank China. Saya yakin bahawa inisiatif ini akan meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan China.

Kerajaan Sabah bersedia untuk bekerjasama dengan China dalam perdagangan dua hala untuk meningkatkan pertumbuhan dan kemakmuran kepada kedua-dua rantau, dan kedudukan Sabah yang strategik di bahagian dunia sebelah sini adalah bonus tambahan untuk mempermudahkan perkongsian,” kata beliau.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) yang memantau kemajuan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan peranan Sabah dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) berfungsi sebagai pusat sehenti yang dapat mempertingkatkan lagi hubungan kerja antara Sabah dan China.

“Saya menggalakkan pelabur yang berpotensi dari China untuk mempelajari lebih lanjut mengenai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan, dan mencari jalan untuk menyertai secara aktif dalam sesetengah sektor yang menjadi tumpuan seperti pemprosesan hiliran minyak sawit, dan dalam sektor minyak dan gas selain pelancongan dan logistik,” kata beliau.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Dewan Perniagaan Malaysia-China dalam membantu memperkukuhkan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia melalui penubuhan pejabat cawangan Sabah di Gaya Street dan mengadakan pameran foto mulai esok hingga 15 Jun.

Komen


Berita Berkaitan