Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,759

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Belum Kenal Pasti Dalang Kematian Sekumpulan Gajah Pada 2013

6:20pm 23/11/2016 Pak Roshan 136 views Kota Kinabalu,Laporan Sidang DUN,Mutakhir,Tempatan

Bangkai gajah yang ditemui terperangkap dalam kolam lumpur berdekatan kem pembalakan Berkat Saga

KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah belum mengenal pasti dalang yang menyebabkan kematian 14 ekor gajah di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau pada awal 2013.

Menteri berkenaan Datuk Masidi Manjun berkata kementerian itu belum menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak yang boleh memberi petunjuk baharu bagi meneruskan penyiasatan kejadian itu.

“Wang ganjaran sebanyak RM120,000 masih lagi ditawarkan kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga kes kematian gajah-gajah itu dapat diselesaikan.

“Saya amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang tampil memberikan maklumat berhubung kes ini agar pihak yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Pada Januari 2013, gajah jenis Pygmy Borneo itu ditemui mati dipercayai akibat diracun di hutan simpan berkenaan.

Sementara itu, Masidi berkata siasatan Jabatan Hidupan Liar Negeri mendapati tiada unsur jenayah berhubung kematian tujuh ekor gajah yang terkandas dalam kolam lumpur di kawasan pembalakan di Rinukut, Tawau pada September lepas.

Beliau berkata konflik gajah dan manusia di Sabah akan berteruan memandangkan aktiviti pembangunan telah melangkaui kawasan yang biasanya dihuni gajah.

“Untuk mencari jalan mengurangkan masalah konflik gajah dan manusia di kawasan berkenaan khususnya di kawasan Kalabakan, Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan, Sabah Softwood Bhd, Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF) Malaysia dan Yayasan Sabah telah membentuk satu kumpulan kerja,” katanya.

Masidi berkata kementerian itu juga akan meningkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan ke atas perlindungan khazanah semulajadi, pemeliharaan flora dan fauna serta pengurusan alam sekitar dengan lebih sitematik.

Menurutnya kementerian itu menggunakan aset penguatkuasaan bagi memantau aktviti di kawasan taman.

“Aset penguatkuasaan berkenaan akan disatukan untuk digunakan bersama Taman-Taman Sabah (Sabah Parks), Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan Jabatan Hidupan Liar,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan