Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Belanja Hampir RM400 Juta Peruntukan Persekutuan Bagi Pertanian Dalam RMK-10

pertanian

KOTA KINABALU : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah telah membelanjakan RM397,120,069.51 peruntukan Persekutuan sehingga bulan lepas dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menterinya Datuk Yahya Hussin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, kementerian itu turut membelanjakan RM564,108,470.50 daripada peruntukan negeri dalam tempoh tersebut.

“Peruntukan tersebut dibelanjakan bagi melaksanakan berbagai program dan projek pembangunan sektor pertanian yang merangkumi subsektor tanaman, ternakan dan perikanan termasuk pembangunan infrastruktur sektor tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Bagi mencapai sasaran 60 peratus tahap sara diri dalam pengeluaran beras, Yahya berkata kerajaan merancang membangunkan kawasan seluas 5,000 hektar di Kota Belud untuk penanaman padi menjelang 2020.

Jelasnya, kawasan tersebut dijangka dapat menghasilkan padi tidak kurang daripada enam tan metrik sehektar semusim dengan kekerapan tanaman dua kali setahun.

“Ini bermakna menjelang tahun 2020, Kota Belud dapat menghasilkan 60,000 tan metrik padi setahun,” katanya.

Yahya juga berkata kerajaan negeri akan berusaha untuk membangunkan kawasan tambahan seluas 5,000 hektar menjelang 2025 yang dijangka menghasilkan 120,000 tan metrik padi setahun.

Beliau turut memaklumkan pokok getah yang ditanam sejak 2012 akan mula mengeluarkan hasil mulai 2017.

“Dengan mengamalkan kaedah pertanian yang baik dan menanam menggunakan klon getah terbaharu, hasil pengeluaran para pekebun dijangka meningkat sehingga 1,800 kilogram sehektar.

“Dengan purata kawasan kebun seluas 3.5 hektar, setiap pekebun kecil dijangka memperoleh pendapatan sebanyak RM22,050 setahun atau RM1,800 sebulan, walaupun pada harga getah yang rendah ketika ini,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan