Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

RUNDUM, TENOM BERPOTENSI DIBANGUNKAN BAGI EKO-PELANCONGAN, PERTANIAN TANAH TINGGI

Jamawi (tengah) bersama penduduk Kampung Rundum Kobis mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Adun Kemabong

KEMABONG: Selain terkenal dengan sejarah pemberontakan Antanom menentang Inggeris sekitar tahun 1915, Rundum yang dikelilingi hutan hujan tropika itu juga berpotensi dijadikan satu lagi destinasi eko-pelancongan yang menarik bagi negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar.

“Bagaimana pun, ia bergantung kepada usaha kerajaan untuk membina prasarana antaranya sistem komunikasi yang lebih baik dan juga lebih banyak infrastruktur asas terutama sekali jalanraya selain bekalan elektrik.

“Kita juga perlukan klinik kesihatan di kawasan itu,” katanya.

Menurut Jamawi, Rundum juga berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian tanah tinggi memandang keadaan cuacanya yang sejuk sehingga mencecah16 darjah celcius, ditambah pula air terjun Sungai Rundum yang mempunyai ikan kelah seberat dua kilogram keatas sudah pasti menggamit hati pelancong.

Kawasan Rundum berpotensi dibangunkan untuk pertanian tanah tinggi. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Adun Kemabong

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Isnin selepas mengakhiri ekspedisi bersama beberapa pegawai kerajaan, doktor dan kumpulan Motorcross anjuran Pejabat Adun Kemabong.

Turut serta dalam program lawatan itu adalah, Penolong Pegawai Daerah Tenom Martinus Lunggeh, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tenom, dua orang doktor perubatan dari Lions Club dan Kilinik Kesihatan Kemabong, pasukan SESB Kota Kinabalu serta beberapa pemimpin Parti Warisan Kemabong dan pemimpin masyarakat.

Rombongan ekspedisi tersebut yang bermula pada 7 September sehingga 9 September antara lain menyaksikan beberapa sesi dialog diadakan dengan penduduk Kampung Rundum Kobis, Kampung Kolorok dan beberapa lagi kampung sekitarnya.

Jamawi bersama dengan murid-murid sekolah rendah semasa ekspedisi ke Rundum. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Adun Kemabong

“Kita juga berjaya mengadakan siri motivasi kecemerlangan pelajar bersama PPD Tenom untuk  SK Kolorok, SK Sumambu, SK Kapulu, SK Rundum dan SK Tilis.

“Selain itu, saya juga sempat berdialog dan meninjau sendiri permasalahan penduduk terutamanya infrastruktur jalanraya dan bekalan air. Saya akan usahakan sebaiknya untuk dinaiktaraf kemudahan tersebut,” katanya.

Selain itu, semasa sesi dialog dengan penduduk Kampung Korolok, Jamawi telah berjanji bahawa bekalan elektrik daripada SESB Tenom akan disambung ke rumah penduduk di kampung berkenaan sebelum Krismas (25 Disember) tahun ini.

Perjalanan ke Kampung Rundum Kobis daripada Pekan Kecil Kemabong memakan masa hanya lebih kurang 40 minit selepas penaikkantaraf jalanraya itu.

Kubu Antanom. Gambar Fail SNT

Bagaimana pun, untuk sampai ke salah satu tarikan pelancong di Rundum iaitu Kubu Antanom yang ketika itu dibina berhampiran dengan pejabat Inggeris sekarang perlu memakan masa selama 4 jam berjalan kaki melalui hutan disebabkan belum ada jalanraya ke kawasan tersebut.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan