Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Rumah terbuka perayaan galak pelancongan negara

PicsArt_1438681068770

KOTA KINABALU – Amalan rumah terbuka yang diadakan setiap kali sambutan perayaan mampu menggalakkan sektor pelancongan di negeri ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir berkata, budaya tersebut menarik minat bukan sahaja pelancong domestik, malah pelancong antarabangsa.
“Masyarakat yang hadir pada setiap tahun bukan sahaja di kalangan masyarakat setempat yang berbilang kaum, tetapi juga para pelancong.
“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi imej bandaraya dan menggalakkan sektor pelancongan.
“Acara tahunan ini bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara kakitangan, pegawai dan masyarakat di bandar raya,” katanya kepada media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DBKK di Dewan Masyarakat, tengah hari tadi.
Hadir memeriahkan majlis tersebut, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr Haji Juhar bin Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah binti Tan Sri R.M Jasni.
Pada majlis itu, Hajah Norlidah diiringi Pengerusi Puspanita Cawangan Bandaraya, Datin Florence Malangkig dan Timbalannya, Datin Rohayah Pawzy menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper kepada 20 orang anak yatim dari Rumah Anak Kesayangan (RAK), Sembulan.
Rumah amal itu merupakan pusat jagaan yang menaungi anak yatim, fakir miskin, mualaf dan asnaf zakat yang telah ditubuhkan pada awal tahun 2008.
RAK juga bernaung di bawah Yayasan Kebajikan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) dan sedang mengendalikan dua buah penempatan asrama yang disewa secara bulanan bagi menempatkan lebih 80 orang kanak-kanak sekolah rendah lelaki dan perempuan serta pra sekolah.
Turut hadir, Timbalan Speaker, Datuk Johny Mositun; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Pembantu Menterinya, Datuk Kamarlin Ombi; Ketua Pengarah DBKK, Datuk Yeo Boon Hai dan kakitangan DBKK.
Lebih 3,000 orang pengunjung hadir ke majlis rumah terbuka tersebut.
Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Jainab Ahmad Ayid mengalu-alukan pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri yang baharu, Datuk Syed Abas Syed Ali yang menggantikan Senator Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak.
Beliau berharap agar kesamarataan gender akan terus diterap oleh pentadbiran Kerajaan Negeri bagi memastikan semua pihak dilayan secara adil.
sumber Jabatan Penerangan Sabah

Komen


Berita Berkaitan