Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

RUMAH PAM AIR PERLU DITAMBAH ELAK BANJIR – PAIRIN

FW9A1546

KOTA KINABALU, 15 Jan : Rumah pam air perlu dibina lebih banyak di beberapa kawasan yang berisiko dinaiki air di negeri ini bagi mengelak berlakunya banjir sekiranya hujan lebat berterusan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata rumah pam air yang dibina di Likas dan Inanam dilihat mampu mengawal masalah banjir apabila ia dapat mengalirkan semula limpahan air ke sungai atau laut dengan lancar.

“Sekiranya kita dapat membina rumah pam air di beberapa lokasi, ia akan membantu mengelak berlakunya banjir kilat di kawasan berisiko,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata pihaknya sentiasa komited dalam melakukan pemulihan dan penambahbaikan berdasarkan pengalaman banjir yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah telah menerima peruntukan daripada kerajaan pusat berjumlah RM9 juta bagi membina dan menambah baik sistem saliran di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pegawai daerah menghantar laporan berhubung kerosakan infrastruktur yang berlaku akibat banjir di daerah mereka untuk tindakan susulan.

Mengenai Pesta Kaamatan, Pairin berkata daerah Tambunan dipilih menjadi tuan rumah untuk majlis pelancaran perayaan itu yang dijadualkan pada 1 Mei dengan bertemakan ‘Keamanan dan Perpaduan Melalui Budaya’.

Mengulas cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah, Pairin berkata beliau ingin melihat satu perubahan yang adil dan saksama serta tidak menyebelahi sesuatu kelompok sahaja.

“Kita sepatutnya berfikir bagaimana untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik,” katanya.- BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan