Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah

rahman

KOTA BELUD 10 Jun – Kerajaan bercadang membina 1,000 unit rumah mampu milik bernilai RM45,000 seunit di daerah ini untuk dimanfaatkan oleh golongan berpendapatan rendah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu dianggarkan bernilai lebih RM180 juta dan menyasarkan golongan penduduk tempatan yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Katanya, sebanyak 900 unit rumah tersebut akan dibina di Kampung Pirasan manakala 100 unit lagi akan didirikan di lokasi berhampiran Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Said, dekat sini.

“Mengikut perancangan, kerajaan juga akan membina rumah bernilai antara RM150,000 hingga RM180,000 seunit untuk memenuhi permintaan golongan sasaran di daerah ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Mukim Timbang, Tempasuk, dekat sini semalam.

Sambutan pesta itu merupakan anjuran Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA) yang turut dihadiri Presidennya, Muji Ampau.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, rumah mampu milik itu hanya akan dijual kepada mereka yang layak.

Tegasnya, pelaksanaan penjualan rumah tersebut kepada yang layak adalah salah satu janji Barisan Nasional (BN) kepada rakyat negeri ini sekali gus memastikan golongan berpendapatan rendah mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut memuji usaha dilakukan TOBISA yang berusaha keras mengekalkan dan mempertahankan budaya tempatan supaya tidak luput ditelan arus.

“Usaha TOBISA termasuk menerbitkan kamus bahasa ibunda mereka jelas membuktikan persatuan ini mempunyai kesatuan yang teguh dalam melaksanakan sesuatu perkara bermanfaat,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan