Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,509

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rukun Negara kekal releven sampai bila-bila – Sapawi

10:02pm 17/04/2017 Leolerry Lajius 97 views Tempatan

Sapawi (lapan dari kiri) bergambar kenangan bersama para hadirin selepas berakhirnya Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1 Malaysia.

BEAUFORT : Rukun Negara yang diketahui berteraskan kepada lima prinsip utama akan kekal relevan sampai bila-bila.

Demikian menurut Exco Penerangan Negeri Sabah merangkap Ahli Parlimen P178 Sipitang, Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad yang menyatakan, Rukun Negara mempunyai asas-asas yang kukuh untuk dipegang oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Salah satu daripada Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan, di mana prinsip itu menunjukkan ianya sangat relevan kerana di Malaysia kita mempunyai kepelbagaian kaum yang tentunya menganut pelbagai agama sebagai kepercayaan mereka.

“Di samping itu, agama Islam turut dijadikan sebagai agama rasmi di negara kita.

“Kesetiaan kepada Raja dan Negara pula menunjukkan bahawasanya negara ini mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

“Prinsip-prinsip inilah yang akan didukung oleh bakal pemimpin pada suatu hari nanti untuk meneruskan pemerintahan dengan asas yang kukuh untuk membawa kecemerlangan dalam kepimpinannya,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1 Malaysia Peringkat Bahagian Pedalaman Bawah.

Tambah beliau, program yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan Sabah itu sangat penting bagi menggilap semula pemikiran anak-anak muda terutamanya pelajar-pelajar sekolah ​mengenai Rukun Negara​.​

“Kerajaan mengambil serius mengenai pendekatan Rukun Negara kepada masyarakat khususnya demi meneruskan kecemerlangan Malaysia di mata dunia.

“Negara kita mempunyai kekuatannya yang tersendiri dengan mempunyai masyarakat majmuk malahan alam semulajadi yang indah sebagai khazanah berharga.

“Maka, kerana itulah ia perlu diterapkan dalam sanubari generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pelapis negara juga berlandaskan TN50 yang akan datang.

“Inilah rukun utama buat kita semua tidak mengira siapapun yang bakal menjadi pemimpin kelak,” tambahnya lagi.

Dalam pertandingan tersebut, SMK Pengiran Omar II, Sipitang dinobatkan sebagai juara dan akan mewakili bahagian mereka ke peringkat negeri./PENERANGAN-

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan