Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,646

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rujuk JHEAINS jika bertembung ajaran berlainan pendapat- Yahya

10:41am 21/05/2016 Elezebeth Esther Onjining 37 views Tempatan,YB Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin
Yahya memotong riben merasmikan bangunan bilik menunggu kenamaan Masjid As Sobirin.

Yahya memotong riben merasmikan bangunan bilik menunggu kenamaan Masjid As Sobirin.

PUTATAN- Umat Islam dinasihati agar merujuk dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) jika bertembung dengan ajaran Islam yang berlainan pendapat atau lain daripada kebiasaan, kata Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Yahya yang merupakan Timbalan Ketua Menteri berkata umat Islam perlu sentiasa berhati-hati dalam melihat dan mendengar ceramah-ceramah agama Islam yang mungkin berlainan pandangan ataupun baru bagi mereka.

Menurutnya, penularan ajaran Islam yang bertentangan dengan ajaran Ahlussunnah Waljamaah yang diamalkan di negara ini dilihatan sedang menjadi-jadi.

“Kemunculan Ustaz-ustaz Youtube sebagai pejuang siber ataupun internet ada di antaranya mengelirukan umat Islam, khususnya di Malaysia.

“Oleh itu, ingin saya nasihatkan sekiranya bertembung dengan ajaran yang berlainan pendapat ataupun lain daripada kebiasaan, umat Islam bolehlah bertanya kepada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk mendapatkan pengesahan sama ada ianya ajaran Islam yang kita anuti di negara ini ataupun bukan”, tegasnya.

Yahya berkata demikian ketika merasmikan bangunan bilik menunggu kenamaan (VIP Holding Room) di Masjid As Sobirin Kampung Sipanggil, di sini, semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri itu juga menekankan aspek perpaduan dan hormat menghormati yang perlu sentiasa dijaga di negara ini tanpa mengira agama dan bangsa.

Menurutnya, masyarakat perlu bijak dalam mencari serta menilai segala maklumat atau berita yang disampaikan sebelum membuat sebarang maklumat mahupun tindakan.

“sekiranya timbul perkara ataupun berita yang kurang baik, lebih-lebih lagi yang dikongsikan melalui media massa dan juga aplikasi telefon pintar, janganlah cepat melenting sambil menyalahkan yang lain.

“Amalan-amalan yang membawa kepada mengekalkan perpaduan perlu dikongsikan kepada generasi muda seperti kunjung mengunjung mengeratkan silaturrahim, gotong royong, bersukan dan sebagainya”, tambahnya.

Yahya juga menyeru agar ahli jawatankuasa di semua masjid termasuk As Sobirin berusaha meningkatkan lagi penglibatan pemuda pemudi agar dapat bersama mengimarahkan lagi masjid di kawasan masing-masing.

Katanya, ini boleh dimulakan dengan para jemaah membawa anak-anak mereka ke masjid untuk sama-sama menunaikan solat. Anak-anak inilah nanti yang boleh menjadi pemangkin untuk mengajak lebih ramai lagi golongan muda untuk datang ke masjid.

Beliau berkata, golongan tersebut juga boleh menyumbangkan tenaga dengan lebih baik sekiranya diadakan aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong, kenduri sekampung dan lain-lain lagi.

Yahya turut memuji usaha AJK Masjid As Sobirin yang telah berjaya membawa kemajuan kepada masjid itu dengan terbinanya bangunan bilik menunggu kenamaan bernilai RM150 ribu menerusi peruntukan daripada JHEAINS.

Katanya, selain daripada menjadi tempat berehat dan persinggahan para tetamu, bangunan bilik menunggu kenamaan juga boleh digunakan sebagai bilik untuk mempelajari bacaan Al Quran atau pun kitab-kitab ilmu Islam yang lain.

“Ustaz yang mengajar akan lebih fokus dalam pengajarannya manakala kepada yang belajar juga akan lebih memberikan tumpuan kerana kurangnya gangguan daripada aktiviti-aktiviti semasa di masjid”, tambahnya.- SayangSabah

Yahya menyaksikan penyerahan bantuan RM5000 daripada Pengarah Pusat Zakat Sabah, Mohd.Zarat Khan Haji Abd.Rahman kepada Pengerusi AJK Masjid As Sobirin, Haji Yusof Haji Othman di majlis itu.

Yahya menyaksikan penyerahan bantuan RM5000 daripada Pengarah Pusat Zakat Sabah, Mohd.Zarat Khan Haji Abd.Rahman kepada Pengerusi AJK Masjid As Sobirin, Haji Yusof Haji Othman di majlis itu.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan