Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,663

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ruang Udara SMK Balung Zon Larangan Terbang

5:56pm 13/10/2016 Pak Roshan 160 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tawau,Tempatan

nuriii

TAWAU – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mewartakan ruang udara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di sini sebagai kawasan larangan terbang untuk pesawatnya susulan kejadian pesawat Nuri milik TUDM mendarat cemas di kawasan sekolah itu pada 4 Oktober lepas.

Panglima Wilayah Udara 2 TUDM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Shabre Hussein berkata TUDM turut memohon maaf atas kejadian tersebut serta kesulitan yang dialami sekolah terbabit.

Beliau berkata insiden itu berlaku di luar kawalan TUDM.

“TUDM bersyukur kerana insiden itu tidak melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan berat,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan TUDM kepada pelajar dan guru SMK Balung yang terlibat dalam insiden itu, di sini hari ini.

 Dalam insiden tersebut, pesawat Nuri TUDM melakukan pendaratan cemas di sekolah berkenaan dan mengakibatkan 10 pelajarnya bersama seorang pekerja pembersihan dan 14 kru termasuk juruterbang pesawat cedera ringan.

Mohd Shabre berkata TUDM kini sedang berusaha melakukan kerja membaiki kerosakan pada sebahagian infrastruktur sekolah itu yang turut mengganggu perjalanan harian sekolah dan Pentaksiran Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3).

“Pembaikan kerosakan dibuat Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP), Kementerian Pertahanan dengan segera dan proaktif yang turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Mengenai majlis penyerahan sumbangan itu, beliau berkata TUDM berharap ia dapat meringankan beban mereka yang terlibat dengan insiden berkenaan selain menyampaikan sijil penghargaan kepada mereka yang membantu mengeluarkan anggota TUDM dari pesawat terlibat.

Mohd Shabre turut menyambut baik cadangan pihak sekolah yang ingin menjadi sekolah angkat kepada TUDM.

“Jika pihak sekolah mahu mengadakan pameran kerjaya misalnya, kami sentiasa terbuka memberi khidmat nasihat mengenai cabang kerjaya TUDM yang boleh diceburi pelajar,” katanya.

Sementara itu Pengetua SMK Balung, Matnoor Sima berkata pihaknya berbesar hati dengan usaha TUDM yang membantu membaiki sekolah tersebut serta memberikan sokongan moral secara berterusan. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan