Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

RTM Hanya Siar Debat 1MDB Secara Langsung Jika Libatkan Pua Dan Arul Kanda – Salleh

8:01pm 04/11/2015 Pak Roshan 80 views Isu Semasa,Mutakhir
Datuk Seri Salleh Said Keruak

Datuk Seri Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR : Siaran langsung debat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak akan diteruskan susulan anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Tony Pua menarik diri daripada menyertai debat itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata RTM menawarkan siaran langsung debat itu jika melibatkan dua individu iaitu Pua, yang merupakan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

“Kami dah bagi keputusan bahawa perbahasan itu diberi siaran secara langsung di RTM jika melibatkan Tony Pua dengan Arul (Kanda) dan pada ketika itu fahaman kami mereka berdua sahaja yang akan terlibat.

“Kini seorang daripada mereka tidak terlibat, maka dengan sendirinya perbahasan secara langsung tidak dapat dibuat lagi sebab slot yang kami tawarkan itu hanya melibatkan dua individu terbabit,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini ketika ditanya sama ada RTM akan tetap menyiarkan secara langsung debat itu sekiranya terdapat individu lain menggantikan Pua.

Salleh menjelaskan RTM menawarkan penyiaran secara langsung debat itu selepas diminta oleh Pua.

Sabtu lepas, Arul Kanda menyahut cabaran Pua untuk mengadakan debat secara langsung mengenai isu 1MDB tanpa syarat.

Susulan itu, Salleh menyatakan kesediaan RTM untuk menyiarkan secara langsung debat itu.

Bagaimanapun pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan Pua perlu meletak jawatan sebagai anggota PAC atau tidak terlibat sama sekali dalam siasatan 1MDB sekiranya berhasrat meneruskan debat terbuka itu.

Pada masa sama, beliau berkata Arul Kanda yang merupakan saksi utama, juga tidak harus terlibat dalam siasatan PAC jika beliau berdebat secara terbuka dengan Pua.

Bagaimanapun, hari ini Pua secara rasmi menarik diri daripada menyertai debat itu bagi memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai anggota PAC dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pengganti Pua bagi debat itu akan dicari dan ditentukan dalam satu mesyuarat Ketua-Ketua Sekretariat Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Salleh berkata terpulang kepada stesen televisyen lain sekiranya mahu menyiarkan secara langsung debat itu sekiranya diteruskan, namun harus menghormati keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Jika mereka mahu meneruskan debat, itu terserah kepada mereka tetapi pembabitan kami (RTM) adalah kerana mereka memohon bagi siaran langsung dan kami (RTM) menawarkan diri kerana ia isu yang baik dan orang ramai patut tahu tentang isu-isu ini.

“Tetapi Yang Dipertua Dewan Rakyat telah membuat keputusan iaitu mereka boleh berdebat secara langsung hanya selepas PAC menyerahkan laporan kepada Parlimen dan hari ini Yang Dipertua mengulangi keputusan tersebut dan pada saya perlu menghormati keputusan itu,” katanya.

Salleh berkata walaupun siaran langsung debat 1MDB antara Pua dan Arul Kanda tidak dapat diteruskan, RTM tetap mempunyai slot berbentuk forum yang dinamakan ‘Demokrasi Mengurus Perbezaan’ yang memberi peluang kepada semua wakil parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membahaskan pelbagai perkara.

“Kami akan menjemput wakil-wakil dari parti politik termasuk dari parti pembangkang dan pihak NGO (untuk) terlibat dalam perbahasan … beberapa isu kami akan tentukan pada November ini termasuk mengenai amalan Parlimen.

“Kami mahu perubahan dalam RTM jadi kami cuba menguruskan perbezaan dan akhirnya biar orang ramai buat keputusan mereka sendiri,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan