Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,687

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

RTM Batal Debat Isu 1MDB Arul Kanda-Tony Pua

6:41pm 04/11/2015 Pak Roshan 197 views Isu Semasa,Mutakhir

rtm-debat

MUKTAMAD… Radio Televisyen Malaysia (RTM) membatalkan program debat secara langsung antara Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda dan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Rancangan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini dibatalkan setelah mengambil kira pandangan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika sesi perbahasan di Parlimen pada Selasa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Rabu mengesahkan perkara tersebut, atas alasan Pengerusi DAP Selangor itu berhasrat tidak akan menyertai debat bagi membincangkan isu 1MDB.

Pemimpin pembangkang itu dilaporkan kemungkinan besar menarik diri dan digantikan dengan individu lain selepas Pandikar mengarahkan beliau untuk meletak jawatan jika masih mahu menyertai perdebatan tersebut.

Menurut Pandikar, perbahasan awam mengenai 1MDB bertentangan dengan peraturan Dewan Rakyat (Peraturan Mesyuarat Perkara 85) kerana Tony Pua kebetulan merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Manakala Arul Kanda sebagai saksi PAC dalam kes siasatan 1MDB yang dijangka selesai pada Disember dan program debat itu dilihat boleh mengganggu proses penyiasatan selain Tony Pua pula ada konflik kepentingan.

Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat Perkara 85 adalah menyatakan bahawa semua siasatan harus dibentangkan kepada pihak jawatankuasa terlebih dahulu sebelum boleh dibentangkan secara terbuka kepada umum.

“Ia dibatalkan disebabkan Tony Pua tidak lagi akan menyertai debat itu. Sebab jika mengikut persetujuan pada awalnya, debat ini hanya melibatkan Arul Kanda dengan Tony Pua sahaja dan bukan individu yang lain pula.

“Ini juga bagi menghormati keputusan Speaker. Kita hormat keputusan Parlimen kerana bimbang debat mungkin menjejaskan proses siasatan 1MDB sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Mengulas lanjut kata Salleh, RTM tidak bercadang untuk menyiarkan secara langung debat antara individu lain berkaitan 1MDB susulan ura-ura pihak DAP mahu menukar Tony Pua bagi memastikan beliau kekal dalam PAC.

“RTM hanya menawarkan siaran langsung debat Tony dan Arul sahaja, bukan melibatkan individu lain. Oleh kerana tidak ada perbahasan antara mereka, maka dengan sendirinya tidak ada lagi siaran langsung,” kata beliau. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan