Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Royalti minyak 20 peratus, Sabah hargai pengumuman Pusat

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Foto Edmund Samunting

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan pengumuman kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak di negara ini.

Sambil merakamkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ia menunjukkan Perdana Menteri mengambil berat mengenai hak-hak Sabah dan pengumuman itu adalah berita gembira untuk rakyat Sabah.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kami sangat bersyukur. Ini berita baik untuk Sabah dan ia adalah janji yang dipenuhi dalam tempoh 100 hari (kerajaan Pakatan Harapan),” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan akan memenuhi janji menyalurkan royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Pakatan Harapan (PH), dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk meningkatkan royalti bagi semua negeri pengeluar petroleum kepada 20 peratus, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak menerima royalti petroleum lima peratus. Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), menegaskan tuntutan 20 royalti minyak adalah sebahagian manifesto parti itu dan janji pilihan raya dibuat bersama dengan rakan PH.

“Ini adalah gambaran jelas bahawa kerajaan baharu di Malaysia dan Sabah serius dalam memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan perubahan.

“Kerajaan yang dipimpin oleh WARISAN akan terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan lebih banyak autonomi untuk Sabah, sejajar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya boleh memberi jaminan kepada rakyat bahawa setiap usaha akan dilakukan untuk memastikan hasil tambahan dapat digunakan untuk faedah rakyat Sabah,” katanya. – Oleh Wan Faizal Ismayatim/BH Online

Komen


Berita Berkaitan