Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rosak Ilmu Manusia Binasa

9:49am 09/11/2015 Zakir Sayang Sabah 19 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Akal adalah pemberian Allah yang paling besar kepada manusia. Dengan akal manusia ditakrifkan, dan dengan sebab akal manusia diberi tugas dan tanggungjawab. Akal itu adalah maruah seseorang, justeru ia tidak boleh dipersendakan. Maka Islam meletakkan akal pada kedudukan yang tinggi. Ia wajib dipelihara dari perkara-perkara yang merosakkan, dan dipupuk agar berupaya mencapai potensinya semaksima mungkin iaitu ilmu. Ilmu adalah syarat kebaikan dan keadilan, oleh itu ia adalah semulia-mulia perkara.

Dengan sebab kemuliaan ilmu itulah maka ahli-ahlinya, iaitu para ulama, dimuliakan. Mereka dimuliakan semata-mata kerana mereka memiliki sesuatu yang membolehkan kebaikan dan keadilan berlaku pada diri mereka. Mereka dipercayai oleh orang ramai kerana ilmu yang dimiliki itu membolehkan mereka menguasai diri, sehingga terzahir kebaikan dan keadilan. Mereka tidak seperti orang kebanyakan yang dikuasai hawa nafsu, sedangkan hawa nafsu itu adalah musuh kepada kebaikan dan keadilan. Pendek kata, alim ulama berbeza dari orang kebanyakan kerana ketinggian akhlak mereka, dan kerana itulah mereka digelar pewaris nabi, yakni yang mewarisi tugas-tugas kenabian.

Maka, apakah petandanya apabila kerosakan dan kezaliman berleluasa? Ia adalah petanda hawa nafsu bermaharajalela. Ia menunjukkan bahawa manusia sudah hilang kemampuan untuk menguasai diri. Ia menunjukkan bahawa ilmunya telah rosak, kerana ilmu sepatutnya membawa kebaikan dan keadilan kepada diri yang memilikinya, bukan sebaliknya. Ilmu yang rosak itu pada hakikatnya bukanlah ilmu, akan tetapi terlihat seakan-akan ilmu sahaja, dan orang yang memiliki ilmu itu pada hakikatnya bukanlah ulama walaupun dia kelihatan pada zahirnya beradat dengan adat resam para ulama. Mereka bukanlah pewaris nabi, dan oleh itu tidak mampu menjalankan tugas-tugas kenabian.

Jika demikian hal keadaannya, maka bagaimanakah manusia dapat diselamatkan? Siapakah pula yang akan memimpin mereka ke arah keselamatan?

Jawapannya tetap sama: iaitu ilmu dan ulama. Ilmu adalah sifat dan ulama adalah yang memiliki sifat itu. Oleh itu, keutamaannya adalah mengenali dahulu apakah itu ilmu, nescaya dikenali ahli dan pemiliknya. Demikianlah pendekatan Imam Ghazali, iaitu menghidupkan ilmu-ilmu agama (Ihya’ Ulum al-Din), kerana beliau percaya ilmu-ilmu agama yang sebenar telah mati pada zamannya. Dengan sebab itulah maka agama juga telah mati, kerana hidupnya agama itu dengan ilmu. Agama yang diamalkan tanpa ilmu dan kefahaman yang benar bukanlah agama di sisi ahli hakikat. Ia hanyalah seperti tubuh yang tidak bernyawa.

Imam Ghazali memulakan Ihya’nya dengan kritikan yang tajam terhadap kaum ilmuwan. Mereka yang dimaksudkan itu bukanlah ulama akhirat, bahkan merekalah yang menjauhkan manusia dari akhirat. Apa yang mereka katakan ilmu dan ajarkan kepada manusia itu sama ada berupa hukum-hakam yang difatwakan, ilmu perdebatan, ataupun bahasa berhias. Kesemua ilmu ini dituntut bagi memperolehi matlamat-matlamat keduniaan semata-mata. Ilmu hukum atau perundangan dituntut bagi tujuan mendapat tempat dalam pemerintahan negara, ilmu perdebatan pula dipelajari bagi berlawan hujah dan memenangi hati  manusia, manakala ilmu bahasa pula dikuasai oleh para penceramah dan pemidato bagi menarik perhatian pendengar.  Apa yang mereka tidak miliki atau endahkan adalah ilmu akhirat, iaitu ilmu yang mendatangkan takut kepada Allah dan harap kepadaNya. Takut dan harap itulah petanda hidup, dan oleh kerana mereka tidak memilikinya maka mereka dikira seperti sudah mati pada hakikatnya.

Menghidupkan ilmu agama bermaksud menghidupkan hati manusia dengan ilmu-ilmu berkenaan, seumpama meniupkan ruh kepada jasad. Ia bermaksud mengembalikan semula kesedaran terhadap matlamat sebenar kewujudan dan nasib akhir setiap diri. Jika demikianlah perihal kaum muslimin pada zaman itu betapakah hal keadaan mereka pada hari ini? Tidakkah lebih besar lagi kini keperluan mereka kepada usaha-usaha sedemikian memandangkan kuatnya kini mereka dilanda wabak pensekularan?

Yang disekularkan itu adalah akal, dan akal yang sekular hanya membataskan luasan pemikirannya kepada kehidupan dunia dan hakikat duniawi. Dari akal yang sekularlah terhasilnya ilmu-ilmu semasa, dan siapakah yang dapat menafikan betapa meluas dan mendalamnya pemikiran sekular itu telah mempengaruhi pemikiran kaum muslimin hari ini? Justeru, kerumitan yang kita tanggung pada hari ini pastilah lebih besar dari yang ditanggung oleh Imam Ghazali kerana yang kita hadapi bukan hanya ulama pencinta dunia tetapi juga ilmuwan sekular anti agama dan kaum modenis yang mahu meminda agama.

(Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), oleh Md. Asham B. Ahmad)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan