Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

RM95 juta pulihkan kawasan terjejas gempa bumi

Masidi menyampaikan cek sumbangan tabung bencana gempa bumi kepada wakil keluarga malim gunung pada majlis pelancaran pameran MATTA di Kota Kinabalu. Foto Ille Tugimin/SayangSabah
Masidi menyampaikan cek sumbangan tabung bencana gempa bumi kepada wakil keluarga malim gunung pada majlis pelancaran pameran MATTA di Kota Kinabalu. Foto Ille Tugimin/SayangSabah

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM95 juta diperlukan bagi memperbaiki dan memulihkan pelbagai jenis kerosakan di seluruh Sabah yang terjejas akibat gempa bumi awal bulan lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, anggaran itu diperolehi hasil laporan awal yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemulihan Bencana Alam Negeri baru-baru ini.

“Kita mengambil kira kerosakan di semua tempat bukan sahaja di Ranau. Ia termasuk Nabawan hingga ke Kota Marudu dan ia melibatkan 38 buah sekolah, bangunan kerajaan serta rumah-rumah ibadat,” katanya dalam sidang media
selepas merasmikan pameran MATTA Sabah 2015 di pusat beli-belah Suria Sabah, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai; Presiden Persatuan Operator dan Agen Pelancongan Malaysia, Datuk Hamzah Rahmat dan Pengerusi MATTA Cawangan Sabah, Robert Chong.

Dalam majlis itu, sebanyak RM80,000 didermakan kepada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah bagi mengisi tabung kebajikan mangsa gempa bumi.

Sabah dikejutkan dengan kejadian gempa bumi bermagnitud 5.9 skala Richter pada 6 Jun lalu yang berpusat di Ranau sehingga mengorbankan 18 pendaki dan malim gunung.

Dalam pada itu, Masidi berkata, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama penuh kerajaan Pusat menghulurkan bantuan kewangan termasuk peruntukan RM10 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu kerajaan negeri memulihkan kerosakan yang berlaku akibat gempa
bumi lalu.

Dalam pada itu, jelas beliau, pihaknya belum mendapat jumlah sebenar pembatalan oleh para pelancong ke negeri ini terutama yang membuat tempahan ke Gunung Kinabalu.

“Pun begitu, saya banyak mendapat emel daripada pihak luar yang menyatakan mereka tidak sabar untuk ke Gunung Kinabalu sebaik sahaja ia dibuka semula. Ia sekaligus memadam persepsi negatif sesetengah pihak terutama di laman sosial bahawa tidak selamat untuk melawat ke Sabah.

“Apatahlagi jika kenyataan itu dibuat oleh orang kita, ia amat mengecewakan memandangkan industri pelancongan amat penting bagi negeri ini,” ujarnya. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan