Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,822

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

RM468 Juta Untuk Enam Projek Tebatan Banjir, Sistem Saliran Di Sabah

7:16pm 20/04/2016 Pak Roshan 120 views Kota Kinabalu,Laporan Sidang DUN,Mutakhir,Tempatan

jps

KOTA KINABALU : Sebanyak RM468 juta diluluskan kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan enam projek rancangan tebatan banjir dan menaik taraf sistem saliran di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata kerajaan meluluskan peruntukan itu melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Projek berkenaan ialah rancangan tebatan banjir Sungai Moyog (RM281 juta), rancangan tebatan banjir Lido (RM76 Juta), rancangan tebatan banjir Sungai Gurong-Gurong (RM20 juta) dan rancangan tebatan banjir pelbagai Sabah (RM56 juta), menaik taraf sistem saliran Sandakan (RM22 juta), serta rancangan tebatan banjir Sungai Bandau dan Sungai Bongon di Kota Marudu (RM13 juta).

“Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sentiasa memohon peruntukan tambahan untuk mengatasi masalah banjir di Sabah,” katanya ketika menggulung perbahasan berkaitan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Yahya berkata kerajaan sememangnya merancang untuk mendalamkan muara Sungai Bongawan dan Sungai Mandahan bagi mengatasi masalah muara sungai cetek di daerah Bongawan dan Kimanis.

Beliau berkata kerja-kerja penyelenggaraan muara sungai terbabit akan dilaksanakan memandangkan ia laluan utama penduduk setempat khususnya para nelayan.

Bagi penyelesaian jangka pendek, sebanyak RM130,000 dianggarkan untuk pemuliharaan Sungai Bongawan manakala kira-kira RM80,000 diperlukan bagi pemuliharaan Sungai Mandahan dan Sungai Tari Mandahan.

“Sebut harga untuk kedua-dua cadangan kerja ini telah dipanggil dan akan dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya bagi perancangan jangka panjang, projek Kajian Pemuliharaan Muara Sungai Bongawan dicadangkan dalam rancangan pusingan kedua RMK11 dengan kos berjumlah RM4 juta.

Selain itu, JPS akan mengadakan satu kajian pembangunan sumber air untuk aktiviti pertanian supaya impak fenomena El-Nino pada masa akan datang dapat dikurangkan, katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan