Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,688

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

RM27 Juta Zakat Pendapatan Dari Penggajian Dipungut PZS Tahun Lepas

7:03pm 16/08/2016 Pak Roshan 10 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

zakat-600x366

SANDAKAN : Sebanyak RM27 juta dipungut oleh Pusat Zakat Sabah (PZS) daripada zakat pendapatan dari penggajian tahun lepas, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Beliau berkata seramai 31,000 daripada 60,000 kakitangan beragama Islam di sektor kerajaan, badan berkanun dan swasta di negeri ini telah membayar zakat pendapatan dari penggajian itu.

Katanya jumlah pungutan itu adalah besar berdasarkan jumlah keseluruhan zakat dipungut oleh PZS di negeri ini pada tahun lepas yang berjumlah RM62 juta.

“Usaha meningkatkan jumlah pembayar zakat pendapatan dari penggajian masih harus ditumpukan oleh PZS menerusi kempen kesedaran di semua daerah di negeri ini,” katanya pada Majlis Penangguhan Seminar Pengurusan Zakat di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Ugama Negeri Sabah Datuk Mohd Suhaili Said.

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (FATWA) negeri Sabah dalam muzakarahnya pada 26 Ogos 1998, telah memutuskan bahawa umat Islam di negeri ini wajib membayar zakat pendapatan dari penggajian.

Keputusan fatwa itu telah diwartakan pada 20 Februari 2003 di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Tahun 1992.

Zakat pendapatan dari penggajian termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, dividen, bonus, komisyen, hasil sewaan, royalti, hibah, imbuhan, elaun, pampasan, pencen dan lain-lain bentuk perolehan semasa hidup atau bersara.

Mohd Arifin berkata penambahan pungutan zakat oleh PZS akan membolehkan lebih banyak bantuan diagihkan kepada golongan yang menjadi sasaran.

Mereka terdiri daripada asnaf membabitkan fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.

Beliau berkata hasil pungutan zakat juga membolehkan PZS membiayai pelajar kalangan golongan asnaf dihantar melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara serta di luar negara.

Katanya ini termasuklah pembiayaan pelajaran terhadap 40 pelajar dari Sekolah Menengah Agama Toh Puan Rahmah di Sembulan yang sedang belajar di Universiti Teknologi Petronas untuk program Diploma Kejuruteraan dan Diploma Pengajian Islam.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan