Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

RM27.6 juta dibelanja untuk pencarian MH370

mh370

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia telah membelanjakan RM27.6 juta bagi membiayai kos logistik anggota keselamatan Malaysia untuk fasa pertama pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, kos perbelanjaan adalah meliputi makan dan minum serta bekalan minyak digunakan oleh pihak keselamatan yang terlibat seperti Tentera Darat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kos yang dibiayai Malaysia pada peringkat awal hanya melibatkan makan minum, minyak…secara keseluruhan kosnya adalah RM27.6 juta.

“Bila orang pertikaikan isu kos, hari ini saya dedahkan. Saya sebenarnya bangga kerana mungkin, keikhlasan kita, tak ada ego, kita tahu kita ada had dan batas dalam pencarian, dan pendekatan sebegini, ramai pihak tampil bantu secara percuma,” katanya dalam sidang media di lobi bangunan Parlimen di sini Isnin.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, menjelaskan bahawa kos itu masih belum muktamad kerana usaha pencarian masih berlangsung, dan kini sudahpun memasuki fasa kedua iaitu proses pencarian di lautan dalam.

Ditanya berhubung keputusan anggota keluarga penumpang MH370 yang ingin mengumpulkan dana bagi mengupah sendiri penyiasat persendirian, Hishammuddin berkata: Saya tidak mempunyai masalah…saya tidak menafikan perkara yang paling sukar untuk saya adalah berdepan dengan anggota keluarga.

“Saya terharu dengan usaha mereka untuk sediakan tabung dan sebagainya.

“Dan saya rasa mungkin ini satu kaedah di mana mereka rasa boleh sumbang dan jadi inklusif dalam usaha kita,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan Sarah Bajc, teman wanita Philip Woods yang juga antara penumpang MH370 sedang melancarkan kempen ‘crowdsourcing’ untuk mengumpul dana bagi pemberi maklumat dan penyiasat persendirian untuk mendedahkan butiran penting tentang siasatan kehilangan pesawat itu.

Terdahulu, semasa menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) pada persidangan Dewan Rakyat, Hishammuddin berkata bagi fasa kedua, Malaysia akan menghantar delegasi ke Canberra, Australia dalam masa terdakat bagi membincangkan lokasi baharu operasi pencarian pesawat MH370 dengan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dan negara-negara terlibat.

Beliau berkata keempat-empat timbalan menteri yang mengetuai jawatankuasa peringkat kementerian masing-masing kemudiannya akan ke Beijing untuk meneliti semua perkara termasuk menerangkan kepada orang ramai tentang operasi ini.

“Apabila ia diterangkan, ia tidak merupakan sesuatu hak milik, tanggungjawab dan amanah Malaysia sahaja tetapi kesemua negara terlibat dalam pencarian ini termasuk negara Asean yang menyatakan sokongan sepadu,” katanya.

Fong ingin tahu apakah langkah kerajaan untuk membaik pulih keyakinan rakyat untuk memilih penerbangan MAS.

Delegasi itu diketuai oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dengan disertai Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin mengetuai jawatankuasa berkaitan waris keluarga; Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengetuai jawatankuasa berkaitan teknikal, pembentukan dan lantikan pasukan penyiasat manakala jawatankuasa berkaitan penghantaran aset bagi operasi mencari diketuai Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Kepada soalan asal Fong yang ingin tahu jumlah pampasan yang dibayar kepada waris-waris, Hishammuddin berkata pihak MAS tidak bercadang mendedahkan butir-butir perbincangan kepada umum bagi menghormati perasaan dan menjaga keselamatan waris mangsa MH370.

Katanya, MAS telah memulakan usaha rundingan berhubung tawaran bayaran pampasan pendahuluan kepada setiap waris mangsa MH370, dan segala butir mengenai pampasan adalah antara pihak MAS, waris mangsa MH370 dan peguam yang dilantik oleh waris.

Komen


Berita Berkaitan