Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

RM25 juta tangani banjir

banjir sandakan

SANDAKAN – Sabah menerima peruntukan berjumlah RM25 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah banjir di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, permohonan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diluluskan.

Menurutnya, pelan projek menangani masalah tersebut akan dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri manakala permohonan bagi mendapatkan tender projek berkenaan juga sudah dibuka.

“Saya sendiri telah mendengar taklimat daripada pihak JPS berkaitan banjir yang berlaku di negeri ini setiap kali hujan lebat.

“Oleh itu, menerusi peruntukan tersebut, kita berharap masalah banjir dapat diselesaikan segera,” katanya selepas menghadiri taklimat pembangunan di bilik mesyuarat Sri Libaran di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Edris; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk James Wong.

Beberapa daerah di pedalaman negeri ini seperti Beaufort, Tenom, Papar, Keningau dan Nabawan sering dilanda bencana alam itu setiap kali hujan lebat terutama pada musim tengkujuh.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM97.44 juta bagi membantu membaik pulih kerosakan infrastruktur akibat bencana banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah, awal tahun ini.

Dalam pada itu, Musa berkata, pelaksanaan pelan bagi menangani masalah banjir di negeri ini penting untuk mengurangkan kesusahan rakyat yang sering berdepan risiko bencana alam itu.

Terdahulu, beliau turut diberikan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah tentang projek penyelenggaraan Jalan Bokara Batu Sapi yang sedang dalam pembinaan.

Menurutnya, projek pembinaan jalan raya itu berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang April tahun depan.

Komen


Berita Berkaitan