Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,649

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

RM16 Juta Untuk Bina Semula Rumah Warga Tua Air Panas Tawau

11:32pm 25/11/2015 Pak Roshan 78 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

air-panas

KOTA KINABALU : Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah memperuntukkan RM16 juta bagi membina semula Rumah Orang Tua Air Panas, di Tawau yang sudah usang.

Menterinya Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan sistem perparitan dan tembok penampan di Rumah Sri Pelangi Lahad Datu yang merupakan satu-satunya pusat perlindungan untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kerajaan akan terus melestarikan perjuangan untuk membela nasib anggota masyarakat dari kalangan OKU, warga emas, ibu tunggal anak-anak yatim, pengidap penyakit kronik dan mangsa-mangsa bencana di negeri ini.

“Sehubungan itu, sejumlah RM60 juta telah diperuntukan bagi tujuan pemberian bantuan kebajikan yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah,” katanya.

Jainab berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet Negeri Sabah 2016 bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini Rabu.

Menurut Jainab peruntukan berkenaan adalah untuk membiayai Skim Bantuan Am, Skim Bantuan Anak-Anak Yatim dan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Radin Melleh yang turut mengambil bahagian dalam penggulungan bajet berkenaan bagi kementeriannya berkata program pembasmian kemiskinan sama ada projek jangka pendek, sederhana dan panjang akan diteruskan kerajaan bagi mencapai objektif program berkenaan.

Katanya pada keseluruhannya sebanyak 52 buah Mini Estet Sejahtera (Mesej) Pertanian, Mesej Akuakultur, Mesej Mikro dan Mesej Bersepadu yang telah siap dan sedang dilaksanakan di seluruh Sabah.

“Apabila siap sepenuhnya, projek-projek Mesej ini akan dapat menempatkan seramai 2,500 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar di seluruh negeri,” katanya.

Sementara itu, Radin berkata pada tahun 2016, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM14.58 juta bagi meneruskan projek-projek Mesej serta projek pembasmian kemiskinan di seluruh Sabah bagi memastikan golongan miskin tegar terus terbela dan hidup selesa dan produktif.

Mengenai Program Bantuan Rumah (PBR), Radin berkata sebanyak 1,000 unit rumah Bina Baru dijangka siap dilaksanakan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan