Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

RM1.56 Bilion Untuk Pembangunan Luar Bandar Sabah Tahun Ini – Ismail Sabri

9:30am 01/02/2016 Pak Roshan 498 views Lahad Datu,Mutakhir,Tempatan

ismail sabri

KOTA MARUDU : Kerajaan Pusat memperuntukkan RM1.56 bilion bagi membangunkan kawasan luar bandar di Sabah pada tahun ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peruntukan itu adalah 28.8 peratus daripada jumlah keseluruhan RM5.45 bilion peruntukan pembangunan disediakan kerajaan pusat menerusi kementeriannya untuk membangunkan kawasan luar bandar di seluruh negara.

Katanya peruntukan sebesar itu membuktikan kerajaan pusat amat prihatin dan peka terhadap keperluan pembangunan masyarakat di Sabah termasuk masyarakat di luar bandar dan ini sekali gus menunjukkan dakwaan pembangkang yang kononnya kerajaan pusat tidak mengambil berat terhadap negeri ini adalah tidak berasas.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Kampung Tinangol di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ismail Sabri berkata peruntukan sebanyak RM1.56 bilion untuk Sabah ini merangkumi semua pembangunan luar bandar termasuk air bersih, elektrik, jalan raya, pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan projek pembangunan ekonomi luar bandar.

“Kita (kementerian) sudah ada menyenaraikan (beberapa program pembangunan). Walaupun kita ada senarai, ada juga sebahagian (program pembangunan) yang perlu disegerakan,” katanya.

Pada program itu, Ismail Sabri turut meluluskan beberapa peruntukan untuk pembangunan segera di kawasan Kota Marudu membabitkan pembinaan rumah panjang Kampung Tinangol yang baharu berjumlah RM1.8 juta, pembinaan Jalan Minikudong Matunggong (RM7.96 juta), membaik pulih lapan buah rumah yang terbakar dan membina 42 unit Program Bantuan Rumah (PBR).

Ismail Sabri turut mengumumkan sumbangan RM30,000 untuk membantu ekonomi kraftangan manik selain sumbangan sebanyak RM10,000 untuk pembangunan sukan di daerah ini.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan