Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,670

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

RISDA bantu tingkat industri getah Sabah- Yahya

1:34pm 21/10/2016 Elezebeth Esther Onjining 42 views Kota Kinabalu,Perniagaan,Tempatan,YB Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin
YAHYA (bersongkok) menerima cenderamata daripada Omar semasa kunjungan perpisahan itu.

YAHYA (bersongkok) menerima cenderamata daripada Omar semasa kunjungan perpisahan itu.

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Sabah telah berjaya membantu meningkatkan industri getah di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Katanya, Risda Sabah yang baru berusia hampir tujuh tahun telah berjaya membantu membangunkan seluas 37252.81 hektar tanah dengan tanaman semula getah melibatkan seramai 12,282 pekebun kecil.

“Sejak 2010 hingga sekarang Kerajaan Persekutuan melalui Risda telah membelanjakan lebih RM382 juta untuk program pembangunan dan penanaman semula getah di Sabah.

“Risda banyak membantu pekebun kecil di Sabah dalam program penanaman semula getah selain Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang menjadi peneraju utama pembangunan industri getah Sabah”, katanya.

Yahya berkata demikian semasa menerima kunjungan perpisahan daripada Pengarah Risda Negeri Sabah, Haji Omar Hassan dan rombongan pegawai-pegawai kanannya di pejabatnya di Wisma Pertanian Sabah, hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar LIGS, Datuk Harris Mathews. LIGS merupakan salah sebuah agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah.

Omar merupakan Pengarah Risda Sabah yang pertama, akan bertukar ke Risda Negeri Melaka pada 1 November 2016 setelah berkhidmat hampir tujuh tahun di negeri ini.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata, penglibatan Risda telah membolehkan banyak kawasan getah di tanam semula selain membantu pekebun kecil pembukaan kawasan baru.

Menurut Yahya, menerusi kerjasama Risda dan LIGS, kerajaan dapat membantu memaju, membangun dan membuka lebih banyak kawasan getah baru di Sabah selain meneruskan program penanaman semula getah yang sedang rancak dilaksanakan.

Katanya, melalui aktiviti penanaman semula dan penanaman baru akan membantu meningkatkan dan memperbaiki kedudukan ekonomi rakyat terutama pekebun-pekebun kecil getah.

Yahya bagi pihak Kerajaan Negeri turut merakam penghargaan dan terima kasih kepada Omar diatas jasa dan sumbangannya selama berkhidmat di Sabah.

“Omar telah berjaya melaksanakan tugas dan misi yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Risda di Sabah”, tambahnya.

Terdahulu Omar memaklumkan Risda Sabah kini mempunyai 6 buah cawangan pejabatnya iaitu di Sandakan, Semporna, Kota Belud, Keningau, Kota Kinabalu dan Beaufort. Risda juga merancang membuka cawangan di Ranau pada masa hadapan.

Katanya, Risda Sabah juga mengadakan program Tuisyen Desa dengan sebanyak 17 buah tuisyen dibuka melibatkan 255 pelajar.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan