Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Resolusi Ramadhan: Tahniah atau Takziah?

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Fitrah dan lumrah, Ramadhan datang dan Ramadhan pergi. Masa yang berlalu membawa bersama amal-amal kita yang telah tercatat di dalam buku yang akan dibentangkan pada yaumul hisab nanti. Masih berbaki cuma esok dan hari ini, itu pun belum pasti kita kekal hidup atau dijemput menghadap ilahi. Tiba masa untuk nilai kembali, bagaimana prestasi Ramadhan kita pada kesempatan ini. Dari hari pertama Ramadhan bertandang, sehinggalah sekarang. Barangkali kita boleh nilai diri kita sendiri dari beberapa sudut penting.

1. Ibadah

Ibadah adalah bukti perhambaan kita kepada Allah SWT. Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Alllah SWT dalam surah adz-Zaariyat ayat ke 56 yang bermaksud, ” Tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk berubudiah (beribadah) kepada Ku”. Ibadah datang dalam pelbagai bentuk, dan dilaksanakan pada banyak waktu. Lalu Allah SWT telah mengkhususkan lagi waktu-waktu di mana sesuatu ibadah itu dilipatgandakan pahala amalannya iaitu pada bulan Ramadan yang mulia.

Oleh itu, ayuh kita singkap kembali bagaimana prestasi ibadah kita pada bulan ini.

  • Puasa kita, adakah hanya sekadar menahan rasa lapar dan dahaga.
  • Solat fardu sempurna pada waktunya atau masih ada lompong-lompong kosong yang gagal untuk kita penuhi.
  • Istiqamah membaca al-Quran walaupun tidak sempat berkhatam atau masih ada waktu kita bermalasan sehingga al-Quran kita tinggalkan.
  • Tarawikh yang walaupun hanya sunat hukum pelaksanaannya, adakah telah kita bersungguh-sungguh menunaikannya atau hanya bersemangat pada awal bulan namun berbasa-basi pada akhirnya.
  • Qiamullail, pernah kita berusaha untuk bangun walaupun tidak pada setiap masa atau mungkin tidak pernah bangun langsung sepanjang Ramadan ini?
  • Bersedeqah dan berzakat, sudah pernah menghulur pemberian atau masih cuba untuk mengelat?

Itu baru sebahagian daripada ibadah-ibadah besar yang dilakukan pada bulan Ramadan, belum termasuk ibadah-ibadah lain seperti berzikir, berdoa, dan amalan-amalan sunat lain. Agaknya, apa khabar ibadah kita?

 

2. Akhlak

Akhlak adalah buah ibadah. Ibadah yang baik dan sempurna akan melahirkan akhlak yang mahmudah dicintai Allah SWT. Sekiranya ibadah-ibadah yang telah dinyatakan sebentar tadi dilaksanakan dengan begitu ikhlas dan tawadhuk penuh rasa rendah diri kepadaNya, nescaya kesannya pasti akan melahirkan individu muslim yang cukup berakhlak mulia di sisi Allah SWT. Justeru, kita sendiri boleh cermin diri kita sendiri, bagaimana agaknya akhlak kita di sepanjang bulan Ramadan ini.

Antara persoalan yang dapat ditimbulkan adalah:

  • Walau berpuasa dari lapar dan dahaga, adakah lisan juga berpuasa dari berkata perkara-perkara yang tidak baik?
  • Adakah mata kita berpuasa dari melihat kemaksiatan, telinga berpuasa dari mendengar perkara-perkara yang lagha, tangan berpuasa dari melakukan perkara syubhah dan dosa, kaki berpuasa dari melangkah ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
  • Dan adakah kita juga adakah menyakiti orang lain baik secara fizikal mahupun mental? Marah dan baran yang tidak dikawal, serta perasaan-perasaan lain yang dikawal nafsu seperti hasad dengki dan cemburu, bersangka buruk kepada orang lain, menabur fitnah dan adu domba.
  • Adakah kita masih ada sikap berbohong, menipu dan mengkhianati orang lain? Tidak bersikap amanah dan jujur? Masih bermalasan dalam melakukan tuntutan-tuntutan yang dipertanggungjawabkan ke atas kita.
  • Aurat kita bagaimana pula, terjaga dengan sempurna seperti mana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT atau masih ada terbuka di sini sana.
  • Adakah masih ada dalam hati kita perasaan riyak, takabbur, sombong, dan bongkak, bermegah-megahan dengan kesenangan yang ada. Semua ini bukan sahaja akhlak yang tidak baik malahan juga merupakan sebahagian syirik kecil kepada Allah SWT.

Dan banyak lagi perkara-perkara maksiat lain yang cuma diri kita sahaja yang tahu akan hakikatnya. Ramadan seharusnya menjadi madrasah yang membentuk diri kita menjadi seorang mukmin yang lebih baik akhlak dan tingkah lakunya, sekiranya tidak, mungkin dari akar lagi ia sudah bermasalah iaitu niat dan keikhlasan kita dalam melaksanakan ibadah puasa ini.

 

3. Aqidah

Tanpa kalimah syahadah, kita bukanlah seorang Muslim. Dan saat kita bergelar muslim tidak kiralah semenjak lahir atau menjadi saudara baru di pertengahan usia, kita semua dipertanggungjawabkan atas kewajipan-kewajipan yang wajib dilaksanakan sebagai individu muslim dan salah satunya ialah ibadah puasa. Apa yang saya cuba jelaskan di sini ialah, jika ibadah puasa kita bermasalah, tidak mustahil aqidah kita juga bermasalah.

Mengapa begitu? Hal ini kerana aqidah itu sendiri merangkumi kepercayaan dan keyakinan pada kewujudan Allah SWT zat serta sifatnya yang termasuk kuasaNya untuk memberi ganjaran mahupun menghukum. Terus, orang yang masih bermain-main dengan ibadah puasa serta meremeh-remehkan janji Allah untuk memberi sebaik-baik ganjaran kepada mereka yang berpuasa malah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai individu muslim yang berpuasa kerana tidak merasakan bahawa Allah SWT itu sedang memerhatikan setiap apa sahaja yang mereka lakukan, ada sesuatu yang tidak sempurna pada aqidah mereka.

Sepertimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim hadis ke 102, pada suatu hari Jibril datang untuk mengajarkan erti Islam, Iman dan Ihsan, lalu Jibril bertanyakan kepada Rasulallah SAW tentang erti Ihsan, lalu baginda bersabda, “Kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, maka jika kamu tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihatmu.” Lantas, tanpa aqidah dan keyakinan yang teguh kepada Allah SWT, sukar untuk bagi seseorang itu melakukan ibadah seakan-akan dia melihat Allah SWT, dan Allah SWT melihatnya. Itulah yang menyebabkan kita masih bermain-main dalam melaksanakan ibadah wajib dan meremeh-remehkan ibadah sunat. Moga Allah pelihara kita dari perkara seumpama ini.

 

4. Muhasabah dan analisis SWOT

Jika boleh dibayangkan satu graf untuk menilai prestasi Ramadan kita pada tahun ini, mungkin kita dapat menilainya melalui pola dan corak yang terbentuk pada graf itu bermula pada awal Ramadan sehinggalah ke hari akhir. Boleh jadi graf itu graf menaik, tidak turun-turun. Menunjukkan bahawa Ramadan kita sangat berjaya sehingga dapat membentuk diri kita menjadi manusia yang semakin baik saban hari. Atau barangkali graf kita menurun saja, ini yang perlu kita renung kembali, takut takut kita menjadi hamba yang sia-sia menjelang akhir Ramadan. Boleh jadi juga pada graf itu ada turun naiknya, berdoalah dan berusahalah ada peningkatan pada akhirnya. Semua ini adalah rangka muhasabah untuk menilai diri kita sendiri dalam usaha untuk menjadi manusia yang Allah redha.

Seterusnya analisis SWOT Ramadan. Analisis SWOT ialah “Strength, Weakness, Opportunity and Threats” yang bermaksud kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman atau cabaran. Dari sini boleh kita lakukan refleksi dan muhasabah, apakah kekuatan yang kita perolehi sepanjang Ramadan ini dan bagaimana ia dapat membantu kita untuk terus mempertingkatkan diri pada bulan mendatang. Kemudian muhasabah pula apa kelemahan yang kita ada yang menyebabkan Ramadan kita tidak berjalan dengan begitu baik atau sempurna supaya kita dapat memperbaikinya untuk Ramadan yang akan datang pula. Dan juga, peluang yang kita masih ada untuk memastikan perjalanan Ramadan akan datang lebih baik berbanding kali ini. Akhir sekali ancaman atau cabaran, lihat semula apakah unsur-unsur ancaman baik luaran mahupun dalaman yang telah menyebabkan Ramadan kita terganggu dan bagaimana untuk mengatasinya pada kemudian hari.

 

Resolusi Ramadan: Tahniah atau Takziah

Setelah bermuhasabah dan melakukan refleksi apa yang terjadi dalam diri kita sepanjang Ramadan ini, kita sendiri boleh membuat konklusi dan resolusi sama ada Ramadan kali ini adalah projek yang berjaya buat kita atau sebaliknya. Sangat beruntung seandainya Ramadan ini telah membentuk kita menjadi manusia yang lebih baik dari sebelumnya dan semoga ia berkekalan walaupun Ramadan telah berakhir nanti. Namun seandainya Ramadan kali ini tiada peningkatan pada diri kita, bahkan kita menjadi insan yang lebih teruk daripada sebelumnya, muhasabahlah. Kita perlu berubah.

Ramadan kita, tahniah atau takziah?

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Aisyah Huraiyah)

Komen


Berita Berkaitan