Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,772

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Remaja Maut Ditikam Ketika Membantu Rakan Terlibat Pergaduhan – Polis Tawau

3:32pm 15/02/2016 Pak Roshan 3628 views Jenayah,Mutakhir
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

TAWAU : Seorang remaja lelaki warga asing maut selepas ditikam dengan pisau ketika cuba membantu rakannya yang terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki di sebuah rumah pekerja di Gunung Rara, Ladang Imbak, Jalan Kalabakan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mahmud Kurniawan, 16, dengan dua kesan tikaman iaitu di bahagian leher kiri dan perut kiri.

Katanya rakan mangsa, yang dikenali sebagai Isra Kurniawan, 15, juga cedera dalam pergaduhan itu dan sedang menerima rawatan di Hospital Besar Tawau.

“Suspek juga seorang warga asing berumur 20 tahun,” kata Fadil dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya polis sedang giat memburu suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu.

Fadil berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek selepas anak buahnya ditangkap berkhalwat dengan seorang daripada mangsa.

Menurutnya, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 pagi tadi sebelum ke lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam perkembangan lain, Fadil berkata jenayah indeks di Tawau meningkat sebanyak 60 peratus atau peningkatan sebanyak 53 kes dari Januari hingga semalam berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sebanyak 141 kes jenayah dilapor pada Januari tahun ini hingga semalam berbanding hanya 88 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas dan kes jenayah harta benda termasuk curi kenderaan dan pecah rumah adalah penyumbang utama kepada peningkatan jenayah indeks itu.

Justeru, katanya polis akan melaksanakan Operasi Agresif sebagai strategi membanteras jenayah dan dadah yang menjadi antara fokus agensi itu.

Sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pasukan tahun ini ialah penyelesaian kes sebanyak 30 peratus dan pertuduhan kes sebanyak 20 peratus, katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan