Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Remaja ditahan samun kedai serbaneka 24 jam, curi motosikal

remajaditahan

SEPANG: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun kedai serbaneka 24 jam dan curi motosikal yang aktif di sekitar daerah ini, Banting, dan Nilai, Negeri Sembilan selepas menahan sembilan remaja dalam beberapa serbuan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 16 tahun dan 19 tahun.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati salah seorang daripada remaja terbabit yang berusia 16 tahun merupakan ketua sindiket dan wanita yang ditahan ialah teman wanitanya.

“Dalam serbuan pertama, pasukan penyiasat khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah berjaya menangkap ketua sindiket di Dataran Nilai pada pukul 12.30 tengah malam, 5 Jun lalu.

“Selepas soal siasat dijalankan terhadap ketua sindiket berkenaan, polis berjaya menahan lapan lagi rakannya di beberapa lokasi berasingan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Mohd. Yusoff, kejayaan menumpaskan sindiket berkenaan adalah berdasarkan laporan yang dibuat oleh dua pemilik kedai serbaneka 24 jam yang telah disamun di Bandar Baru Salak Tinggi dan Sungai Pelek dekat sini.

“Kes pertama adalah samun di kedai serbaneka 24 jam di Bandar Baru Salak Tinggi pada pukul 8.45 malam, 3 Jun lalu dan kes kedua pula samun di kedai serbaneka 24 jam di Sungai Pelek pada pada pukul 5 pagi, 4 Jun lalu.

“Suspek berkenaan menggunakan parang untuk menyamun dan antara barangan yang dilarikan adalah wang tunai, rokok dan beberapa barangan lain, Kerugian dalam kedua-dua kes dianggarkan sebanyak RM1,000,” katanya.

Ujar Mohd. Yusoff lagi, berdasarkan pemerhatian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terhadap pakaian dan kenderaan yang digunakan serta maklumat orang ramai, polis berjaya menahan suspek utama di Dataran Nilai sebelum tertangkapnya lapan suspek lain.

“Hasil soal siasat, sindiket berkenaan bukan sahaja terlibat dalam kegiatan samun, malah terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Sepang, Banting, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Nilai.

“Antara barang kes yang dirampas daripada sembilan suspek berkenaan adalah sebilah parang, 20 kotak rokok pelbagai jenis, lima buah motosikal, lapan kerangka motosikal, komponen motosikal dan juga pelbagai perkakas untuk meleraikan motosikal,” katanya.

Sementara itu kata Mohd. Yusoff, kesemua suspek kini sedang direman sehingga 20 Jun ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun atau sebatan serta mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam curi kenderaan bermotor. 

Komen


Berita Berkaitan