Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,799

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rela Sabah Terima Pensijilan EKSA

3:59pm 05/04/2016 Pak Roshan 100 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

Rela 4

KOTA KINABALU : Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Sabah mempertingkatkan lagi prestasinya apabila menjadi cawangan pertama di Malaysia memperoleh pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).

Pengarahnya Samasuddin Lawe berkata pihaknya mula mengamalkan EKSA sejak September 2015 dan berjaya mendapat pensijilan cemerlang daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) pada 1 Mac lepas.’

“Pejabat Rela Sabah adalah yang pertama mengamalkan EKSA serta berjaya mendapat pensijilan oleh MAMPU. Pelaksanaan atau pembudayaan EKSA adalah selaras dengan seruan Ketua Pengarah Datuk Kamariah Mohd Noah untuk mencapai penilaian bintang kementerian.

“Kejayaan ini (pensijilan EKSA) adalah susulan pencapaian Rela Sabah memperoleh pensijilan Amalan 5S Sektor Awam pada 2010,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan sijil berkenaan yang disampaikan Timbalan Pengarah MAMPU Sabah Zellina Abdul Rahman di sini Selasa.

EKSA yang diperkenalkan MAMPU bertujuan menambah baik pelaksanaan Amalan 5S selaras dengan usaha memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan agensi-agensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai yang menjadi amalan seluruh warga agensi sektor awam.

Amalan 5S iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal merujuk kepada pengurusan persekitaran tempat kerja yang lebih seragam dan sistematik.

Mengulas lanjut, Samasuddin berkata pencapaian memperolehi pensijilan EKSA itu merupakan hasil kerjasama semua kakitangan Rela Sabah yang aktif dan sentiasa komited untuk membudayakan EKSA.

“Kita juga sangat berterima kasih kepada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan MAMPU yang banyak memberi tunjuk ajar dan garis panduan melalui Kursus Pemantapan EKSA dan Kursus Audit Dalaman EKSA.

Sementara itu, Zellina berkata sejak diperkenalkan pada 2014, sebanyak 56 agensi persekutuan dan negeri di Sabah telah berjaya memperoleh pensijilan EKSA.

“Kita berharap akan lebih banyak lagi agensi akan melaksanakan EKSA, kerana ia mampu memupuk semangat bekerja dengan persekitaran kerja kelas pertama, selamat serta kondusif,” katanya.

Beliau juga berharap kejayaan Rela Sabah dapat menjadi perintis kepada seluruh Rela di Malaysia untuk mengamalkan EKSA di tempat kerja masing-masing.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan