Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,704

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

RELA Bantu Esscom Tangani Pelbagai Isu Keselamatan Di Esszone

8:00pm 08/08/2016 Pak Roshan 312 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

esszone

LAHAD DATU : Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan membantu pasukan keselamatan khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam menangani pelbagai isu keselamatan di pantai timur Sabah.

Kol (K) RELA Kawasan Parlimen Silam, Dr Salleh Kalbi berkata RELA akan digerakkan membantu Esscom mengawal dan mengawasi kawasan strategik termasuk menjadi ‘mata dan telinga’ serta menyedarkan masyarakat supaya melaporkan dengan segera sekiranya mengesan perkara yang boleh mengancam keselamatan seperti dadah, penyeludupan dan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata masyarakat perlu membantu dan bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan sentiasa terjamin.

“Sama-sama kita membantu mengawasi dan mengawal kawasan kejiranan masing-masing termasuk memberi maklumat keselamatan kepada pihak berkuasa atau Esscom untuk tindakan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata masyarakat tidak seharusnya menuding jari kepada pasukan keselamatan apabila berlaku sesuatu isu, tetapi “tanya kepada diri sendiri, apa sumbangan mereka kepada negara dalam konteks mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di negara ini”.

Katanya Esscom sudah melakukan yang terbaik termasuk mengadakan pelbagai operasi bersepadu di daratan dan laut bagi mengekang cubaan penjenayah rentas sempadan melakukan jenayah culik, kemasukan PATI dan penyeludupan.

Salleh berkata adalah mustahil bagi Esscom mengawal keseluruhan kawasan pantai timur Sabah yang luas dan pulau-pulau yang banyak sekiranya masyarakat hanya berpeluk tubuh dan tidak membantu.

Sehubungan itu, katanya rakyat perlu memainkan peranan membantu pasukan keselamatan khususnya Esscom dalam menangani pelbagai isu keselamatan dengan tidak bersekongkol dan melaporkan dengan segera sekiranya mengesyaki sesuatu perkara yang boleh mengancam keharmonian dan keselamatan negara.

Dalam pada itu, beliau menolak sekeras-kerasnya cadangan agar Esscom dibubarkan.

Katanya pantai timur Sabah memerlukan sebuah agensi seperti Esscom yang boleh menyelaras dan menggerakkan pelbagai agensi keselamatan yang mempunyai tugas dan peraturan kerja berbeza supaya tidak timbul soal pertindihan tugas di samping penggunaan aset secara maksimum.

Salleh juga mengingatkan pemilik bot nelayan agar tidak mengambil risiko menangkap ikan di kawasan perairan negara jiran, Filipina yang terdedah dengan pelbagai ancaman.

Katanya pengusaha dan pemilik bot tunda serta bot nelayan laut dalam perlu mematuhi arahan pihak berkuasa supaya memasang Sistem Pengenalan Automatik (AIS) untuk membantu Esscom mengesan kedudukan bot sekiranya bantuan diperlukan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan