Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

REGATTA LEPA LEPA SEMPORNA, PRODUK PELANCONGAN UNIK SABAH

KOTA KINABALU: Sabah perlu memperbanyakkan lagi produk pelancongannya untuk menarik minat lebih ramai pelawat datang ke negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata Sabah tidak boleh berasa puas hati dengan pencapaian kedatangan pelancong pada masa kini.

Mohd Shafie bersama dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong (satu kanan) dan Datuk Christina Liew (empat kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Regatta Lepa Lepa Semporna hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

Menurutnya negeri ini mempunyai banyak produk pelancongan yang tersendiri yang boleh dikembangkan untuk menarik minat para pelancong datang dan antaranya ialah Regatta Lepa Lepa Semporna yang akan berlangsung dari 25 hingga 28 April nanti.

“Pelancaran Regatta Lepa Lepa ini merupakan satu usaha yang kita alu-alukan untuk membolehkan sektor pelancongan kita ditingkatkan.

“Kita tidak boleh terlampau leka sangat dengan jumlah pelancong yang datang pada hari ni, kita perlu berusaha untuk membolehkan seramai mungkin pelancong daripada seluruh dunia datang ke Sabah,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan promosi Regatta Lepa Lepa Semporna di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dekat sini hari ini.

Mohd Shafie bersalaman dengan para penari kebudayaan sempena pelancaran Regatta Lepa Lepa Semporna. Gambar SNT/Ihsan JKM

Katanya beliau diberitahu oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew yang berada di Berlin, Jerman untuk menyertai ekspo pelancongan baru-baru ini bahawa terdapat ruang untuk meningkatkan jumlah pelancong dari Eropah berminat datang ke Sabah.

“Ini adalah untuk meningkatkan lagi usaha kita menjadikan pelancongan sebagai satu sektor yang utama di negeri sabah.

“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, kita sedar dan faham kita tidak boleh bergantung hanya dengan kelapa sawit dan kita tidak boleh bergantung dengan barang-barang komoditi lain,” katanya.

Usaha untuk menambah kedatangan pelancong ke Sabah amat dialu-alukan memandangkan ianya dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri dan juga rakyat, amnya, katanya.

Mohd Shafie (tengah) bersama dengan wakil-wakil rakyat dan tetamu jemputan yang hadir dalam majlis pelancaran Regatta Lepa Lepa Semporna di PPNS hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

Terdahulu dalam ucapan pelancarannya, Mohd Shafie berkata Regatta Lepa Lepa Semporna juga adalah salah satu cara bagi kerajaan untuk memberitahu dunia bahawa Semporna selamat untuk dilawati.

“Kita akan benar-benar pastikan Semporna selamat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan Regatta Lepa Lepa pada mulanya hanya diraihkan sebagai satu pesta namun ianya telah melalui satu penjenamaa semula dan sekarang telah menjadi satu perayaan besar di Semporna.

“Kita bukan raihkan untuk masyarakat kaum Bajau sahaja, kita juga raihkan perayaan masyarakat lain yang ada dalam negeri ini,” katanya.

Mohd Shafie yang juga adalah Ahli Parlimen Semporna mengucapkan terima kasih kepada Christina kerana memberi jaminan akan mempromosikan program Regatta Lepa Lepa yang ke-25 tahun.

Mohd Shafie turut memberitahu bahawa beliau akan bertemu dengan President dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Datuk Idris Jala bagi membincangkan cara bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan di Sabah.

Dalam pada itu, beliau menjemput orang ramai untuk datang ke Semporna bagi menyaksikan sendiri keunikan Regatta Lepa Lepa ini nanti.

“Banyak persediaan yang telah kita lakukan bukan hanya dari segi tarian sahaja tetapi banyak persembahan kebudayaan, makanan dan lokasi-lokasi yang boleh dilawati bukan sahaja dari luar bahkan juga daripada negara kita sendiri,” katanya.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan