Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,781

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Razarudin Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Baharu

9:10am 25/11/2016 Pak Roshan 309 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
RASHID (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Razarudin (kiri) dan Awang Sahari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin

RASHID (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Razarudin (kiri) dan Awang Sahari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU : Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu bagi menggantikan Datuk Awang Sahari E.M Nadzeer yang bersara wajib mulai esok.

Majlis serah terima tugas antara Razarudin dan Awang Sahari berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini dengan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.

Razarudin dalam ucapannya selepas menandatangani sijil serah terima tugas itu mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana mempercayainya untuk menggalas jawatan itu dan berjanji akan berkhidmat dengan jujur dan ikhlas.

“Saya juga mengharapkan kerjasama semua pegawai dan anggota polis Sabah untuk bersama-sama menentukan bahawa negeri ini akan terus aman dan tenteram serta pelawat boleh datang ke Sabah tanpa rasa ragu-ragu,” katanya.

Sebelum ini, Razarudin pernah berkhidmat di Sabah sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.

Sementara itu, Abdul Rashid percaya Razarudin akan dapat membantu beliau dalam meneruskan agenda memperkasa PDRM Sabah dalam menjamin keselamatan dan keamanan negara khususnya di Sabah.

“Polis Kontinjen Sabah menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman, yang mana kita nampak tenang, tetapi sebenarnya warga PDRM sabah menjalankan persediaan berterusan bagi menghadapi segala ancaman yang bukan sahaja penculikan.

“Kita akan berbincang banyak perkara dan sudah tentu Datuk (Razarudin) akan membantu saya dalam membuat persediaan sewajarnya,” katanya.

Abdul Rashid turut mengucapkan terima kasih kepada Awang Sahari kerana berjaya menjalankan tugas sebagai timbalannya dengan penuh dedikasi dan efisien.

Ketika berucap, Awang Sahari berkata pelbagai pengalaman mencabar ditempuhinya selama 38 tahun bertugas sebagai pegawai polis.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM khususnya kontinjen Sabah atas kepercayaan, bimbingan, sokongan dan kerjasama diberikannya ketika berkhidmat selama setahun tujuh bulan sebagai timbalan pesuruhjaya polis.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan