Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ratusan Operasi Banteras Penyambungan Haram Setiap Tahun – SESB

sesb

KOTA KINABALU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melaksanakan ratusan operasi membanteras aktiviti mencuri elektrik atau penyambungan haram di kawasan penempatan setinggan setiap tahun namun hasilnya belum memadai bagi mengekang aktiviti tersebut.

SESB dalam kenyataan hari ini berkata agensi itu, melalui media cetak dan elektronik, tidak jemu-jemu menyuarakan masalah penyambungan haram di kawasan setinggan selain sentiasa menghebahkan mengenai bahaya aktiviti seperti itu kepada pencuri elektrik serta orang ramai.

“Peruntukan undang-undang sedia ada amat terhad dan isu-isu penguatkuasaan yang lain membataskan lagi tindakan berkesan yang boleh SESB ambil terhadap pelaku,” katanya dalam kenyataan sebagai mengulas kejadian renjatan elektrik melibatkan seorang anggota bomba di Sandakan pada Isnin (20 Julai).

Dalam kejadian itu, seorang anggota bomba, Apolos Jeremos, 25, terbunuh dipercayai selepas terkena renjatan elektrik di kawasan semak ketika bertugas memadamkan kebakaran belukar di Batu 7, Taman Kenari, Sandakan. Apolos dipercayai terpijak wayar di dalam semak berkenaan yang disambung secara haram.

Menurut SESB, mereka mengenal pasti 111 buah penempatan atau lebih 10 ribu rumah setinggan secara aktif membuat sambungan haram untuk menikmati bekalan elektrik secara percuma dan penempatan berkenaan tertumpu di daerah Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

“Penyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat oleh penghuni penempatan setinggan ini meningkatkan risiko keselamatan ataupun risiko terkena renjatan elektrik kepada pengguna lain,” menurut kenyataan itu.

Menurut SESB insiden yang menimpa anggota bomba di Sandakan berkenaan bukanlah kejadian pertama kerana tragedi sama turut menimpa seorang anggota polis di Tawau ketika bertugas pada 2011.

Tragedi malang itu kata SESB perlu dijadikan iktibar tentang bahayanya sambungan elektrik haram yang masih berleluasa dan sekali lagi berharap tindakan atau kata putus (oleh pihak berkenaan) dapat segera diambil berkaitan kehadiran penempatan setinggan.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan