Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,804

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rasulullah, Bahasa Luhur, dan Pemikiran Aras Tinggi

10:15pm 05/01/2016 Zakir Sayang Sabah 20 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Umat Islam di pelbagai tempat telah meraikan Ulang Tahun kelahiran Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Sempena sambutan Mawlid Baginda pada Rabiul Awal ini, ada baiknya jika kita turut merenung dua perkara yang sangat jarang dibicarakan.

Pertama, Agama Islam yang merupakan Risalah Allah melalui Baginda itu sejak dari awal telah menyedia dan memupuk Umat Islam untuk mencapai tahap tertinggi dalam pemikiran yang benar murni.

Kedua, penyediaan dan pemupukan yang dimaksudkan di atas terlaksana melalui pemupukan dan pemeliharaan bahasa yang baik, yang khusus merujuk kepada bahasa yang disuai-olahkan oleh Wahyu Terakhir—Bahasa Arab—namun tetap merangkum semua bahasa Umat Islam yang diorientasikan semula oleh wahyu tersebut, termasuk Bahasa Melayu.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan tahap tertinggi pemikiran?

Penting untuk disedari bahawa pada peringkat tertinggi, pemikiran akan bersifat abstrak (atau dalam istilah Arabnya, mujarrad).

Malah, yang benar-benar dapat bersifat abstrak atau mujarrad itu hanyalah perkara-perkara yang universal, atau kulli.

Perkara-perkara yang setulennya universal atau kulli ini pula tidak akan dapat secara langsung dilakar ataupun diukir untuk tanggapan inderawi tetapi hanya dapat difahami oleh akal, khasnya melalui olahan bahasa yang betul.

Satu misalan yang pernah disentuh oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazzali (yang turut kita kenangi ulang tahun kewafatannya yang ke-904 pada bulan Disember ini) dapat menjelaskan lagi erti universal dan abstrak ini.

Beliau pernah memetik pena (al-qalam) sebagai satu contoh untuk membezakan faham (atau konsep) yang universal daripada khayalan atau tanggapan inderawi yang juz’i (atau particular).

Sebagaimana yang pernah kita alami, pelbagai bentuk dan jenama pena yang mampu ditanggap oleh pancaindera manusia (boleh dilihat oleh mata dan disentuh oleh tangan) kemudiannya dapat dirakam dan dikenang dalam rupa-bentuknya masing-masing oleh daya khayal (atau imaginasi) insan, meskipun pena-pena asal itu semuanya sudah tiada lagi.

Susulan daripada penelitian tekun insan terhadap segala perkara dan segi berkaitan pena, akal insan yang menjadi jelas tentang hakikat pena dapat pula memahami suatu rumusan-makna umum yang serba merangkum semua rupa-bentuk pena, iaitu: “alat yang dengannya butiran-butiran ilmu dicatat dan dirakam.”

Makna yang ditanggap oleh akal ini bersifat kulli (iaitu: menyeluruh dan serba meliputi sebarang pena) lagi mujarrad (yakni: tiada dibataskan pada bahan tertentu pena dan tiada pula terikat dengan apa-apa perkara inderawi yang lazim mendampingi satu-satu pena seperti warna, ukuran, berat, dan yang sebagainya).

Justeru, makna pena yang sedemikian bukan sahaja tiada terhad tertakluk kepada mana-mana pena tertentu tetapi juga merentas-melangkaui sebarang rupa-bentuk zahir pena yang ditanggap oleh deria insan.

Makna tersebut turut bersifat benar senantiasa, tidak subjektif (tiada bergantung pada peribadi insan tertentu), tidak juga relatif (bukan bernisbahkan tempat atau masa tertentu).

Sifat mujarrad dan kulli ini juga, sekiranya diperhalusi, juga mencirikan dua teras Agama Islam: keimanan dengan Allah dengan segala Sifat Kesempurnaan-Nya dan Nabi Muhammad S.A.W. dengan seluruh sifat mulia pada dirinya, baik yang zahir mahupun yang batin.

Kalimah syahadah yang diulang sebut sekurang-kurangnya lima kali (atau sepuluh kali) sehari dalam setiap solat fardu menayangkan penegasan berterusan perihal dua teras tersebut.

Keimanan sedemikian pula diasaskan atas dasar ilmu, bukan ikut-ikutan, bukan telahan pendapat peribadi, bukan juga ciptaan khayalan diri.

Malah, sangat ketara berbeza dengan penganut agama-agama yang lain, Umat Islam sama sekali dilarang daripada melakukan sebarang lakaran dan ukiran (yang bercirikan tanggapan inderawi) untuk memerihalkan Allah dan Rasul-Nya.

Sebaliknya, pemerihalan tersebut serta kesedaran dalam diri mereka yang terbit daripada pemerihalan itu berlangsung tanpa putus melalui kata-kata yang tepat dan jelas; yakni, dengan bahasa yang dipelihara dan dipupuk dalam pendidikan pada pelbagai tingkat.

Bahkan syahadah itu sendiri terdiri daripada kata-kata yang disedari dan dihayati.

Larangan penggunaan wahana yang mudah diterima oleh deria insani (iaitu lakaran, ukiran dan yang seumpamanya), seiring dengan pemanfaatan sehabis mungkin wahana akal (yakni bahasa yang jelas dan tepat), dalam memerihalkan dan menyedari secara berterusan dua teras agama ini jelas menunjukkan bahawa Islam memang menyedia dan memupuk Umatnya untuk mencapai tahap paling luhur dalam pemikiran—tahap yang abstrak dan universal.

Malangnya, kebelakangan ini, dalam merencana dan membangunkan kaedah serta pendekatan pembelajaran dan pengajaran dengan menggunakan teknologi informasi, komunikasi dan multimedia yang kian canggih, Umat Islam cenderung untuk mengutamakan pengasahan saluran dan tanggapan inderawi dan meminggirkan penghalusan bahasa akal.

Akibatnya kini, bukan sahaja para pelajar, tetapi juga para pengajar, mudah rasa bosan dan kurang tertarik dengan syarahan dan bacaan padat berisi untuk santapan budi, namun senang pula terpesona dengan paparan imej beraneka yang memukau indera.

Jika kecenderungan ini dibiarkan tanpa kawalan dan panduan, bagaimana mungkin Umat ini bangkit mencapai keluhuran akal dan kemuncak pemikiran?

(Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), oleh Dr. Mohd. Zaidi bin Ismail)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan