Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Rasional Adun Luyang Sertai MCA – Abdul Rahman Dahlan

mca

KOTA KINABALU: Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata rasional di sebalik penyertaan Anggota Dewan Undangan Negeri Luyang Dr Hiew King Cheu dalam parti komponen itu menerusi MCA ialah kerana kerusi bagi kawasan itu sebelum ini ditandingi MCA.

Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yakin Ketua Bahagian MCA Luyang dan negeri Sabah serta di peringkat kepimpinan nasional parti itu bersetuju menerima permohonan Hiew seperti yang dimaklumkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiongg Lai kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

“Berdasarkan rasional itu, ketua menteri tidak membantah,” katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin malam.

Abdul Rahman, yang juga anggota Parlimen Kota Belud, berkata sebelum ini terdapat satu kes yang menyaksikan permohonan seorang calon pembangkang (kini BEBAS) untuk menyertai Umno ditolak kerana kerusi yang ditandingi diperuntuk kepada parti komponen BN yang lain.

“Tidak wajar bagi Umno untuk menerima calon itu kerana kawasan yang diwakili diperuntuk kepada parti komponen BN yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata meskipun Umno Sabah secara prinsip tidak membantah penyertaan Hiew dalam BN menerusi MCA, parti berkenaan perlu membincangkan perkara itu dengan parti komponen lain.

“Saya percaya sebagai sebuah parti utama dalam gabungan ini, MCA perlu memahami bahawa pemimpin parti lain perlu dirujuk berhubung isu berkenaan.

“Saya percaya MCA bertindak secara tergesa-gesa dalam mengumumkan perkara ini dan mereka perlu menjawab pertanyaan daripada parti komponen lain dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN akan datang,” katanya.

Hiew, yang baru-baru ini menyertai MCA, memenangi kerusi Luyang atas tiket DAP pada pilihan raya umum ke-13, namun memutuskan untuk meninggalkan parti pembangkang itu dan menjadi ADUN BEBAS pada September tahun lepas.

Komen


Berita Berkaitan