Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rapatkan Populasi Gajah Di Sabah – Kajian Genetik

9:51am 25/02/2016 Pak Roshan 70 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gajah

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Kajian yang dilakukan sekumpulan saintis mendapati tahap perbezaan genetik yang rendah dalam kalangan populasi gajah Borneo di Sabah.

Ini merupakan antara kesimpulan yang terdapat dalam kertas kajian yang disiarkan secara dalam talian pada Selasa oleh sekumpulan saintis dari Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC, Sabah), Cardiff University (United Kingdom), badan bukan kerajaan HUTAN (Sabah), Instituto Gulbenkian de Ciencia (Portugal), Institute for Systems Genomics (Amerika Syarikat), CNRS (Perancis) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Kajian itu dibiayai oleh Initiative for the Survival of Species, US Fish and Wildlife Service, Elephant Family, Houston Zoo, Columbus Zoo dan Portuguese Science Foundation.

Pengarah DGFC Dr Benoit Goossens berkata pada tahun 2005 hingga 2007, pasukannya menghabiskan beberapa bulan mengumpul sampel najis daripada semua variasi gajah di Sabah dan menganalisis DNA mereka untuk mendalami kepelbagaian genetiknya serta menentukan tahap pemecahan populasi dan pengasingan kelompok sedia ada.

“Adalah sangat membimbangkan apabila mendapati tahap aliran gen populasi gajah di Sabah menurun dan perbezaan genetik yang ketara antara populasi, khususnya di Kinabatangan, Tabin dan kawasan tengah Sabah (Malua, Ulu Segama, Kalabakan, Kuamut dan Hutan Simpan Gunung Rara),” katanya yang merupakan ketua penulis kajian itu dalam kenyataan di sini Rabu.

Beliau berkata menariknya, populasi Kinabatangan dilihat mempunyai genetik yang sangat pelbagai lalu menjurus kepada dua cadangan kritikal.

Ia adalah menghubungkan semula populasi Kinabatangan ke populasi yang lain di negeri ini, dan mengelakkan sebarang pemecahan terhadap populasi Kinabatangan, sekiranya mahu memelihara spesies tersebut, katanya.

“Malangnya, baru-baru ini berita melaporkan mengenai sebuah jambatan bakal dibina di sungai Kinabatangan di Sukai dan pembangunan jalan di dalam Santuari Hidupan Liar Kinabatangan yang boleh menjejaskan kelangsungan hidup jangka panjang populasi gajah tersebut di rantau ini dan juga negara,” tegasnya.

Goossens berkata sekiranya jumlah populasi semakin berkurangan, haiwan itu akan menjadi lebih sensitif terhadap persekitaran rawak seperti perubahan iklim atau pemecahan berterusan berikutan pembangunan infrastruktur (seperti yang boleh berlaku di Kinabatangan).

Pembiakbakaan dalam dan kehilangan variasi genetik akan mengakibatkan saiz populasi yang kecil dan boleh membawa kepada kepupusan spesies di Sabah dan di Borneo.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan