Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

RAPATKAN BARISAN, FOKUS KE ARAH PEMBANGUNAN SABAH PADA 2015 – MUSA

cm3

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menggesa semua rakyat Malaysia di Sabah supaya merapatkan barisan dan memberi tumpuan ke arah membangunkan negeri ini bersempena kedatangan tahun baharu 2015.

Beliau berharap semua pihak di Sabah akan saling bekerjasama selain menggesa kakitangan awam supaya memberi khidmat terbaik dalam melaksanakan segala perancangan serta memastikan keperluan semua pemegang kepentingan dipenuhi.

“Usah biarkan pemikiran sempit menutup minda kita, kerana kita perlu bekerjasama dengan negeri lain dalam usaha menikmati kemajuan.

“Bagi Tahun Baharu ini, menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia di Sabah akan melakar kejayaan dalam bidang masing-masing dan dengan berganding tangan, kita boleh sama-sama membantu merubah negeri dan negara, dan meletakkan diri kita setara dengan beberapa negara terbaik di dunia,” katanya dalam perutusan tahun baharu beliau di sini hari ini.

Musa berkata pada 2015, Sabah akan terus berkembang dan menjadi sebuah negeri yang semakin kompetitif dalam Malaysia dan di rantau ini.

Beliau menarik perhatian inisiatif seperti Program Transformasi Ekonomi, Koridor Pembangunan Sabah dan fokus berterusan kepada agenda pembangunan negara atau Halatuju kini di landasan betul untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Katanya tumpuan kepada pelancongan dan logistik, sektor minyak sawit selain minyak serta gas mewujudkan sumber pertumbuhan baharu, dan projek yang dijana menerusi inisiatif ini bukan sahaja melahirkan lebih banyak usahawan tempatan, bahkan juga turut membantu mewujudkan kumpulan pekerja berpengetahuan.

“Dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti di dalam negeri, kita boleh mula mengekalkan belia yang pada masa ini mencari kerja di negeri lain untuk terus berada di Sabah.

“Terdapat banyak limpahan positif daripada ekonomi yang memberangsangkan dan bersandarkan kepada sektor yang pelbagai,” katanya.

Musa berkata hubungan akrab antara Sabah dan kerajaan Persekutuan membolehkan kerajaan negeri menambah baik prasarana awam, keperluan pendidikan dan keperluan tenaga kerja.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan adalah kerajaan yang mendengar suara rakyat dan mengambil langkah perlu dalam memastikan keperluan rakyat dipenuhi, terutamanya di Sabah.

“Saya ingin menggesa rakyat Malaysia di Sabah supaya mengelak daripada terjebak dalam agenda pihak tertentu yang mendakwa mereka dilayan secara tidak adil oleh kerajaan Persekutuan.

“Gesaan agar Sabah keluar daripada persekutuan Malaysia adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan. Bagi isu yang perlu diselesaikan, terdapat saluran yang boleh kita gunakan untuk menyuarakan kebimbangan “Mewujudkan situasi tegang dan meracuni fikiran rakyat supaya menentang kerajaan Persekutuan akan hanya mengganggu-gugat keharmonian serta meminggirkan kita daripada agenda untuk mewujudkan Sabah yang lebih baik,” katanya.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan