Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rancang Cuti Persekolahan Sebaiknya

10:08am 10/11/2015 Zakir Sayang Sabah 39 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Cuti sekolah hujung tahun sudah bermula. Anak-anak adalah orang yang paling gembira  selepas bertungkus lumus menghadiri kelas, peperiksaan dan ko-kurikulum yang diwajibkan. Inilah masa untuk berehat sebentar daripada alam persekolahan.

Di antara tujuan cuti sekolah adalah untuk memberi sedikit kerehatan kepada murid-murid  yang sudah sekian lama belajar, sebelum mereka menyambung pelajaran pada tahun hadapan. Cuti akhir tahun adalah cuti yang agak panjang iaitu lebih daripada sebulan.

Justeru, jika ia tidak diuruskan dengan baik, ia akan menjadi sia-sia dan berlalu begitu sahaja. Musim cuti persekolahan perlu dirancang dan diurus dengan baik supaya ianya dapat memberi manfaat kepada anak-anak.

Orang yang beriman tidak akan membiarkan dirinya dan keluarganya berada dalam keadaan lalai atau sia-sia. Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq  sering berdoa supaya terhindar daripada kelalaian dengan doanya yang bermaksud:

“Ya Allah, jangannlah Engkau membiarkan kami dalam sengsara, janganlah Engkau menyiksa kami secara mengejut, janganlah Engkau jadikan kami daripada golongan yang lalai”.

Ibu bapa hendaklah bijak menguruskan cuti persekolahan, sentiasa prihatin dan peka dengan aktiviti anak-anak dalam memenuhi cuti dengan aktiviti yang membina jati diri mereka. Dikhuatiri jika anak-anak dibiarkan menghabiskan cuti begitu sahaja, mereka akan mudah terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat dan gejala sosial yang jelas menyimpang daripada ajaran agama Islam.

Fenomena hari ini amat menakutkan bagi yang bergelar ibu bapa. Satu kajian tempatan mendapati hubungan seks luar nikah di kalangan remaja semakin meningkat setiap tahun daripada 0.9 % pada tahun 1994, 2.2 % pada tahun 2004 dan 6.5 % pada tahaun 2010.

Mengikut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke 4, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2004 mendapati, sebanyak 18.4 % remaja mengaku pernah melihat bahan lucah, 16.6% mengaku pernah meraba atau diraba, 26.2% mengaku pernah bercium atau bercumbu dan 2.2% mengaku pernah melakukan hubungan seks.

Sementara Kajian Health Status of Youth in Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 2010 pula mendapati sebanyak 40.0 % mengaku pernah lihat bahan lucah, 28.5% mengaku pernah melakukan masturbasi,  6.5 % mengaku pernah melakukan hubungan seks dan 2.3% mengalami tanda-tanda dijangkiti STI.

Kita dapati ramai remaja yang mengunjungi pusat siber terutama dalam masa cuti sekolah. Walaupun mereka bukan menonton bahan yang lucah, namun kebanyakannya hanya membuang masa dengan permainan atas talian.

Mereka sanggup menghabiskan berjam-jam lamanya di pusat siber membazir masa begitu saja. Sepatutnya diadakan kempen anak-anak tidak pergi ke pusat siber tetapi ke perpustakaan pada cuti sekolah ini.

Jika pada masa persekolahan kita memberikan penekanan kepada akademik dan keputusan peperiksaan, cuti sekolah adalah masa untuk mengimbangi keadaan ini dengan memastikan anak-anak mendalami ilmu agama.

Kewajipan solat harus ditekankan; kita harus bertegas dalam hal ini membimbing dan memberi galakan untuk menjalankan perintah Allah. Ia merupakan bekalan dalam mengharungi hidup di zaman serba mencabar ini. Alasan keletihan dan kepenatan setelah seharian bersekolah tidak boleh diterima. Rasulullah SAW bersabda:

“Suruhlah anak-anak kamu bersembahayang ketika anak kamu berumur tujuh tahun, pukullah mereka (jika enggan mengerjakan solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka”. (Hadis Riwayat Abu Daud).

Bimbingan dan perhatian ibubapa kepada anak-anak mendatangkan banyak kebaikan kepada anak. Walaupun anak tidak mengatakannya, mereka sebenarnya amat dahagakan kasih sayang dan perhatian daripada ibubapa. Namun terdapat ibubapa yang ‘menyogok’ anak dengan wang ringgit, dengan anggapan itu sudah memadai.

Namun hakikatnya duit atau setakat memenuhi keperluan fizikal anak-anak tidak boleh menggantikan belaian kasih sayang dan tunjuk ajar ibu bapa. Pada awal pembesaran, anak-anak memerlukan ibu bapa sebagai orang terawal petunjuk jalan.

Dalam usia muda, anak-anak begitu mudah terpengaruh dan meniru perbuatan yang tidak baik. Tanpa perhatian dan tumpuan ibu bapa, anak-anak akan mudah tergelincir dan terjebak dengan kerosakan akhlak dan maruah.

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardawi, kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini ialah apabila tercabutnya akhlak mulia anak-anak yang memudahkan mereka terdedah dalam krisis gejala sosial.

Hendaklah kita mengambil contoh dan pengajaran yang diceritakan Allah SWT bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anak-anaknya. Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 17 dan 18:

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

(Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), oleh Mastura binti Mohd Zain)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan