Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rampasan Terbesar RM114.5 Juta Di Kota Kinabalu – SPRM

8:15pm 05/10/2016 Pak Roshan 26879 views Berita Pilihan,Jenayah,Mutakhir

rasuah

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata rampasan itu dibuat daripada seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi awam itu selepas mereka ditahan SPRM semalam.

“Hasil siasatan, SPRM merampas RM75 juta daripada pejabat, rumah dan akaun bank kedua-dua suspek tersebut dan keluarga mereka,” katanya pada sidang berita mengenai kes itu di sini, hari ini.

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, katanya SPRM turut menangkap seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan akauntannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan mereka.

Beliau berkata penangkapan ‘Datuk’ dan akauntannya itu membolehkan SPRM menyita kira-kira RM37 juta daripada akaun sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan seorang daripada pegawai kanan agensi awam itu.
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI) SPRM, DATUK AZAM BAKI

Azam berkata SPRM turut merampas RM2.5 juta lagi daripada sebuah peti simpanan di sebuah bank milik timbalan pengarah itu.

SPRM akan membuka lima peti besi lagi dalam masa terdekat dengan bantuan pihak bank, katanya.

“Sejak penubuhan badan pencegahan rasuah 49 tahun lalu, kita tidak pernah menyita wang tunai sebanyak ini daripada individu, khususnya penjawat awam.

“Pihak kami percaya mereka juga memiliki wang di beberapa bank di luar negara,” katanya.

Beliau berkata pengarah dan timbalan pengarah itu disiasat SPRM kerana disyaki mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 billion sejak 2010.

“Mereka juga dipercayai memonopoli kesemua projek itu dan diserahkan kepada adik-beradik mereka,” katanya sambil memberitahu suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Azam berkata SPRM turut mengenal pasti beberapa individu lagi yang dipercayai bersubahat dengan kesemua suspek dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan tidak lama lagi.

Menurutnya jika ada pihak yang enggan memberi kerjasama, SPRM boleh mengambil tindakan tegas terhadap mereka. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan